Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki maut dalam keadaan kepala dan kedua-dua tangan putus akibat dirempuh kereta api di Kilometer 751, landasan kereta api arah Kempas ke bandar raya ini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.58 malam itu, mangsa yang hanya dikenal pasti sebagai Munian, 65, ditemui mati di tempat kejadian dalam keadaan yang mengerikan sejurus dirempuh kenderaan berat itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, menurut saksi kejadian, mangsa dilihat terus berdiri di tepi landasan walaupun beberapa kali diberi amaran dengan membunyikan wisel.

"Sebaliknya, mangsa merebahkan badan ke landasan sebelum dirempuh kereta api yang sedang bergerak dari arah Kempas ke Johor Bahru.

"Mangsa maut serta-merta dengan keadaannya yang berkecai, kepala, tangan serta kaki juga putus selain cebisan daging turut ditemui di atas landasan," katanya.

Sulaiman berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 1:17 PM