TERTUDUH dihukum penjara 17 tahun dan 10 sebatan. FOTO Zaman Huri Isa
TERTUDUH dihukum penjara 17 tahun dan 10 sebatan. FOTO Zaman Huri Isa
Oleh Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: Penoreh getah berusia 42 tahun dijatuhi hukuman penjara 17 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini masing-masing terhadap dua pertuduhan merogol anak kandung.

Hukuman dijatuhkan Hakim Mohd Yusuff Yunus selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mohd Yusuff memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan pada 17 Oktober 2014.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kuala Krai pada September 2011.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama di rumah lain di Kuala Krai pada kira-kira 12 tengah malam, 27 Mei 2014.

Untuk kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebatan sehingga 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 4:28 PM