PENG Soon (kanan) dan Liu Ying lepasi pusingan pertama.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bakal berdepan halangan sukar hari ini di Grand Prix (GP) Terbuka Vietnam 2015 selepas memenangi pusingan pertama, semalam.

Peng Soon-Liu Ying bakal berdepan pilihan kedua Praveen Jordan-Debby Susanto dari Indonesia dengan mereka mengharapkan kemenangan untuk memperbaiki ranking dunia dan seterusnya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Semalam, mereka menumpaskan pasangan Indonesia, Irfan Fadhilah-Weni Anggraini 21-17, 10-21, 21-13 dalam perlawanan yang berlangsung 45 minit.

Menurut Liu Ying, permainannya bersama Peng Soon, masih kurang bagus kerana mereka sepatutnya boleh mencatat kemenangan straight set.

“Bagaimanapun, permainan kami tidak terlalu teruk cuma esok (hari ini) perlu lebih bersedia kerana lawan agak sukar untuk dijinakkan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, mereka perlu melepasi halangan hari ini jika ingin pergi jauh dalam kejohanan ini.

“Memang sasaran kita untuk melepasi pusingan ini dan jika memasuki separuh akhir ranking kami akan terus naik,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Satu lagi pasangan beregu campuran, Tan Chee Tean-Shevon Lai tumpas di tangan wakil Thailand, Bodin Issara-Savitree Amitrapai 14-21, 8-21.

Pemenang pingat emas beregu wanita, Sukan SEA 2015 Singapura, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho berjaya mara ke pusingan kedua apabila menumpaskan pasangan Thailand, Panjarat Pransopon-Sarita Suwannakitborihan 21-12, 21-19 dan mereka bakal berdepan wakil Taiwan, Chen Hsiao Huan-Huang Mei Ching hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 9:03 AM