Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) semalam menandatangani Perjanjian Beli Tenaga (PPA) Tambahan dengan Jimah East Power Sdn Bhd (JEP).

TNB dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia berkata, langkah itu lanjutan daripada pelaksanaan Perjanjian Jual dan Beli Saham dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk pengambilalihan 70 peratus pegangan dalam JEP.

Pada 22 Julai tahun lalu, TNB dan JEP menandatangani PPA untuk pembinaan loji tenaga elektrik menggunakan arang batu 2,000 megawatt di Jimah.

“PPA Tambahan itu, dengan jangkaan tarikh operasi masing-masing bermula 15 Jun 2019 dan 15 Disember 2019, mengawal kewajipan pihak berkenaan untuk menjual, membeli kapasiti harian sedia ada dan pengeluaran elekrik bersih dijana kemudahan itu bagi tempoh 25 tahun.

“Penandatanganan PPA Tambahan tidak akan menjejaskan modal saham terbitan dan berbayar serta pegangan pemegang saham utama TNB. Ia memberi kesan positif terhadap perolehan TNB sepanjang projek Jimah,” katanya.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 10:51 AM