BOLT sapu bersih acara pecut.
Reuters

Beijing: Jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt merakam catatan terpantas tahun ini 19.55 saat untuk melakar rekod kemenangan keempat berturut-turut acara 200 meter pada Kejohanan Olahraga Dunia sekali gus menyapu bersih acara pecut individu pada kejuaraan utama global buat kali kelima, semalam.

Lima hari selepas menewaskan Justin Gatlin untuk menjuarai 100m, juara Olimpik berusia 29 tahun serta pemegang rekod dunia itu sekali lagi ternyata terlalu unggul buat pelari Amerika Syarikat itu yang berakhir di tangga kedua dengan masa 19.74s.

Pelari Afrika Selatan, Anasco Jobodwana meraih gangsa dengan masa 19.87s di depan Alonso Edward dari Panama, yang turut mencatat masa sama namun terlepas pingat dengan perbezaan 0.002 saat. Masa Jobodwana adalah 19.861 manakala Edward 19.863.

Kemenangan itu membolehkan Bolt melebarkan rekod 10 pingat emas kejohanan dunia dan dia mungkin boleh memenangi emas ke-11 apabila beraksi dalam acara 4x100m bersama kuartet Jamaica, esok.

Bolt, yang hanya berlari satu perlumbaan pada jarak itu sebelum ke Kejohanan Dunia selepas musim yang diganggu kecederaan, sekali lagi menghasilkan yang terbaik tepat pada masanya.

Pelari Jamaica itu keluar dari blok lebih pantas berbanding Gatlin dan sudah di depan ketika di selekoh yang mana pelari AS itu memecut lebih laju dan kelihatan mungkin mampu menggugat juara itu.

Bolt bagaimanapun gagal dinafikan kejuaraan dan dia dilihat menumbuk dadanya ketika melepasi garisan penamat.

Bolt dan Gatlin hanya bertemu sekali sebelum ini dalam perlumbaan 200m pada Kejohanan Dunia 2005 di Helsinki yang mana pelari AS itu meraih kejuaraan dunia pertamanya dalam acara itu ketika Bolt berakhir di tangga tercorot.

Gatlin, 33, tidak kalah sejak 2013 dalam kedua-dua acara pecut sebelum ke Beijing.

“Usain Bolt seorang lelaki legenda,” kata pelari Britain, Zharnel Hughes, yang berakhir di tangga kelima dengan catatan terbaik peribadi 20.02s pada kejuaraan utama sulungnya.

“Malah saya sendiri agak ragu-ragu dengannya. Tapi Bolt seorang fenomena. Dia tahu apa yang perlu dilakukan apabila tiba kejohanan utama. Pujian untuknya.”

Pelari Turki, Ramil Guliyev (20.11s) di tangga keenam di depan Femi Ogunode dari Qatar (20.27s) dengan rakan senegara Bolt, Nickel Ashmeade di tangga tercorot dengan masa 20.33s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:26 AM