PEMENANG kategori Lelaki Terbuka bergambar bersama Nazri (empat dari kanan).
PEMENANG kategori Lelaki Terbuka bergambar bersama Nazri (empat dari kanan).
Oleh Rosli Mansor Ahmad Razali

Taiping: Acara Raintown Half Marathon 2015 yang berlangsung di pekarangan Padang Esplaned, Ahad lalu bakal disenaraikan dalam kalendar pelancongan Malaysia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata, acara larian bertaraf antarabangsa itu disertai pelbagai negara dan secara tidak langsung menyumbang kepada sektor pelancongan di negara ini.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan penyertaan tempatan dan luar negara, acara ini wajar disenaraikan dalam kalendar tahunan Tourism Malaysia.

“Taiping masih kekal dengan kehijauan alam semula jadi. Lebih 30 elemen dan monumen bersejarah ada di bandar warisan ini yang pastinya menjadi tarikan utama pelancongan,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang di Padang Esplaned.

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan, Datuk Megat Firdouz Megat Junid, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Abu Bakar Said, Yang Dipertua Majlis Pembandaran Taiping (MPT), Datuk Abdul Rahim Md Ariff dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Taiping, Koay Boon Hui.

Kejohanan yang julung kali diadakan anjuran Persatuan Kebajikan Masyarakat Taiping dengan kerjasama pihak MPT menyaksikan seramai 5,000 peserta termasuk peserta luar negara dari Kenya, Thailand, Singapura, China dan Jepun turut mengambil bahagian.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan membabitkan larian sejauh 21 kilometer (km), 10km dan 7km.

Peserta Kenya, Bernard Mwenda Muthoni mengungguli saingan terbuka lelaki 21km manakala peserta negara, Chey Lay Ling menjuarai terbuka wanita.

Julius Kimtai Rotich dari Kenya memenangi kategori lelaki veteran manakala pelari negara Toh Hui Sung mendominasi wanita veteran bagi larian sejauh 21 km. Katergori 10km lelaki terbuka dimenangi Abgari Ajwad Kamaruzzaman manakala peserta Kenya Nakuwa Rebecca muncul juara terbuka wanita sementara S Sharin memenangi 7km lelaki dan Ong Shu Yuin wanita.

Pemenang menerima hadiah berupa medal, sagu hati dan wang tunai yang disampaikan Nazri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:31 AM