X
SORIANO (kiri) penjaring terbanyak Liga Europa.
SORIANO (kiri) penjaring terbanyak Liga Europa.
Reuters

London: Keserasian Jonathan Soriano dengan saingan Liga Europa semakin berterusan apabila penjaring terbanyak musim lalu itu melakar hatrik ketika membantu Salzburg muncul salah satu antara empat pasukan yang berjaya melangkah ke pusingan kalah mati.

Soriano yang dilabel sebagai salah seorang penjaring paling berbahaya di Eropah, sudah menghasilkan 21 gol sepanjang 17 aksi Liga Europa dan Bundesliga Austria apabila membantu pasukannya menang 5-1 ke atas Dinamo Zagreb sekali gus membolehkan Salzburg menduduki tangga teratas Kumpulan D.

Dynamo Moscow, Fiorentina dan Legia Warsaw turut bakal mengharungi baki dua perlawanan kumpulan dengan selesa apabila masing-masing sudah layak ke pusingan kalah mati.

Kelab Russia itu menang 1-0 ke atas Estoril di dalam Kumpulan E manakala Legia menundukkan Metalist Kharkiv 2-1 dalam Kumpulan L.

Fiorentina yang menang tiga perlawanan awal, turut layak walaupun seri 1-1 dengan PAOK Salonika.

Soriano, 29, yang meledak lapan gol sepanjang kempen musim lalu, mencatat lima gol musim ini manakala gol Kevin Kampl dan Massimo Bruno memberikan Salzburg kemenangan terbesar mereka dalam saingan Eropah setakat ini.

Kejayaan Fiorentina di Liga Europa pasti memberikan semangat buat mereka kerana sekadar menduduki tangga ke-10 Serie A dengan tiga kemenangan dari 10 perlawanan.

Mereka dilihat bakal tewas buat kali pertama dalam saingan Liga Europa apabila Maarten Martens meletakkan PAOK di depan ketika permainan berbaki sembilan minit tetapi kapten Manuel Pasqual menyelamatkan kedudukan menerusi gol pada lewat permainan.

Ia membolehkan Fiorentina mengetuai Kumpulan K dengan 10 mata dan layak ke kelompok 32 pasukan terakhir dengan rekod lebih baik berbanding PAOK yang menduduki tangga ketiga dengan empat mata.

Ia mungkin malam yang cemerlang buat kelab Inggeris Tottenham Hotspur dan Everton yang mencerahkan laluan untuk ke pusingan kalah mati.

Spurs mengatasi Asteras Tripolis 2-1 dalam Kumpulan C hasil jaringan Andros Townsend dan Harry Kane.

Everton menang 3-0 di tempat sendiri ketika menentang Lille dalam Kumpulan H menerusi jaringan Leon Osman, Phil Jagielka dan Steven Naismith.

FC Zurich menang 3-2 ketika menentang Villarreal dalam Kumpulan A di mana semua lima gol dijaringkan sepanjang 10 minit pertama separuh masa pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:06 AM