KISAH mengenai Mohamed Hamzah tersiar di Harian Metro pada 2004.
KISAH mengenai Mohamed Hamzah tersiar di Harian Metro pada 2004.
TUN Dr Mahathir ketika mengisytiharkan nama bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’ pada 31 Ogos 1997.
TUN Dr Mahathir ketika mengisytiharkan nama bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’ pada 31 Ogos 1997.
PELAN Gerbang Mahkota dilukis Mohamed, malah turut menyelia pembinaan di Pantai Lido.
PELAN Gerbang Mahkota dilukis Mohamed, malah turut menyelia pembinaan di Pantai Lido.
MOHAMED (bertanda x) aktif dalam aktiviti kokurikulum ketika zaman persekolahan.
MOHAMED (bertanda x) aktif dalam aktiviti kokurikulum ketika zaman persekolahan.
WAJAH Mohamed ketika remaja.
WAJAH Mohamed ketika remaja.
ABU Bakar (kanan) bersama isteri, Sa’diah Omar di kediaman mereka di Johor Bahru.
ABU Bakar (kanan) bersama isteri, Sa’diah Omar di kediaman mereka di Johor Bahru.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Sudah 58 tahun Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan sebagai tanda negara bebas daripada belenggu penjajahan sejak 1511 sehingga 1957.

Seperti tahun sebelumnya, Hari Kemerdekaan tahun ini muncul dengan tema ‘Sehati Sejiwa’ yang menekankan semangat kejiwaan dan bersatu hati dalam kalangan rakyat Malaysia.

Laungan kemerdekaan berkumandang di corong radio dan kaca televisyen. Perarakan anggota beruniform dan pelbagai agensi pastinya menarik perhatian pelancong asing dan rakyat tempatan yang berpeluang menyaksikan perbarisan itu secara langsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Jalur Gemilang megah berkibar membelah ruang angkasa sama ada di bangunan pencakar langit, rumah, bangunan kerajaan, sekolah atau kenderaan sebagai tanda kecintaan masyarakat terhadap Malaysia.

Dalam kita bersuka ria, teruja dan seronok menyambut Hari Kebangsaan, tiada sesiapa pun bertanya siapa yang mencipta Jalur Gemilang, bendera keramat yang menjadi kebanggaan negara?

Berkibar megah selama 47 tahun kemerdekaan negara yang lalu, akhirnya Arkib Negara Malaysia menjejaki pencipta sebenar Jalur Gemilang pada 2004.

Terciptanya Jalur Gemilang adalah rentetan daripada penciptaan bendera Persekutuan Tanah Melayu (PTM) oleh seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, Mohamed Hamzah.

Idea itu terhasil ketika menyertai pertandingan mencipta bendera pada 1949 yang dikendalikan Jawatankuasa Khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu Sir Alex Newboult.

Disebabkan penubuhan Malayan Union mendapat tentangan hebat masyarakat Melayu yang dipimpin Datuk Onn Jaafar, ia dibatalkan dan digantikan kepada Persekutuan Tanah Melayu (PTM) pada 1 Februari 1948.

Penggantian itu turut merubah semua sistem pentadbiran dan perlembagaan Tanah Melayu termasuk bendera yang mewakili kerajaan atau negara terbabit.

Justeru, satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan pada Mei 1948 oleh Majlis Perundangan Persekutuan bagi mengelolakan penciptaan bendera PTM.

Pemilihan bendera diserahkan kepada Majlis Perundangan Persekutuan dan Persidangan Raja-Raja bagi memilih bendera yang dicipta orang ramai.

Majlis terbabit turut bersetuju dengan penggunaan warna merah, putih, kuning dan biru selain simbol seperti keris, keris bersilang, harimau atau bulan sabit yang boleh digunakan tetapi reka bentuk am perlu simbolik dengan Persekutuan dan perpaduan antara 11 negeri.

Selepas terbaca iklan mengenai pertandingan mencipta bendera yang diiklankan dalam surat khabar tempatan antaranya The Strait Times pada 10 Ogos 1949, Mohamed Hamzah tidak melepaskan peluang dengan menghantar empat reka bentuk bendera PTM pada 13 Ogos 1949 kepada Clerk of Councils, the Council Chamber, Kuala Lumpur.

Sebanyak 373 corak bendera memasuki pertandingan terbabit. Reka bentuk yang dihantar Mohamed Hamzah adalah satu antara tiga reka bentuk terpilih untuk ke penilaian terakhir.

Rekaan pertama menunjukkan lambang keris bersilang yang dikelilingi 11 bintang pecah lima, rekaan kedua menunjukkan 11 bintang pecah lima disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang manakala rekaan ketiga adalah 11 jalur biru putih dengan bulan bintang berbucu 11 yang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Penilaian terakhir dipilih menerusi pandangan orang ramai dan selepas menerima perkenan Majlis Raja-Raja baru diisytiharkan sebagai bendera rasmi PTM.

Selepas diiklankan dalam akhbar pada 28 November 1949, secara majoriti orang awam memilih rekaan ketiga yang juga adalah hasil ciptaan Mohamed Hamzah.

Beberapa pindaan terhadap warna bendera itu turut dilakukan terutama selepas cadangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan dipersetujui Raja-Raja lain, warna bulan bintang digantikan dengan warna kuning melambangkan warna Diraja.

Pada 26 Mei 1950, bendera Persekutuan Tanah Melayu berkibar secara rasmi di Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur.

Ia dinaikkan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu Sir Henry Gurney yang diperhatikan semua pembesar negeri termasuk Datuk Onn Jaafar (Menteri Besar Johor ketika itu), Abdul Wahab Abdul Aziz (Menteri Besar Perak) dan Nik Ahmad Kamil Mahmud (Menteri Besar Kelantan).

Selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, bendera PTM diubahsuai sejajar dengan kemasukan Sarawak, Sabah dan Singapura dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Walaupun Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965, Malaysia masih mengekalkan ciri-ciri benderanya.

Mula berkibar sejak 1950, pada malam 31 Ogos 1997, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri keempat ketika itu mengukir satu lagi sejarah apabila beliau mengumumkan nama baru bagi bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang.

* Sumber: Kamdi Kamil, Mohamed Hamzah Perekacipta Jalur Gemilang

Jasa abang dipandang sepi

Apabila melihat kibaran Jalur Gemilang, penulis masih tertanya-tanya bagaimana nasib ahli keluarga Mohamed Hamzah yang diiktiraf pencipta Jalur Gemilang.

Justeru, penulis berusaha mencari adik bongsunya, Abu Bakar Hamzah, 79, yang agak uzur bersama isteri, Sa’diah Omar, 72, di Kampung Majidee, Johor Bahru.

Letih lelah penulis hilang ketika disapa ramah meskipun menempuh perjalanan jauh dari Kuala Lumpur.

Abu Bakar kelihatan gembira ketika bercerita mengenai keistimewaan Mohamed. Dia mengakui, abang kedua daripada 10 beradik itu, bersungguh-sungguh menyiapkan lakaran bendera PTM selepas ia diiklankan di akhbar.

Namun, tiba-tiba wajah yang tadinya ceria bertukar sayu, malah nadanya juga kedengaran perlahan, menggambarkan kekecewaan Abu Bakar nasib menimpa abangnya.

“Selepas 65 tahun kibaran Jalur Gemilang, tiada apa pun tanda mereka menghargai jasa arwah abang.

“Dulu arwah abang meminta saya merahsiakan dirinya sebagai pencipta Jalur Gemilang dan rahsia itu saya simpan sehingga abang meninggal dunia pada 1993.

“Saya kasihankan arwah abang yang mengabdikan dirinya untuk negara tapi sayang ganjaran yang diterima tidak setimpal dengan apa yang dilakukan.

“Walaupun arwah disahkan pencipta Jalur Gemilang selepas usaha dilakukan Arkib Negara Malaysia bersama akhbar Harian Metro dan Metro Ahad, tiada pengiktirafan dan anugerah diterima apatah lagi royalti.

“Jalur Gemilang sudah dikibar di serata dunia, dibawa ke angkasa hingga ke bulan serta menempuh pelayaran mengelilingi dunia oleh Datuk Azhar Mansor pada 1999.

“Mereka disanjung dan beri pengiktirafan dengan pelbagai gelaran tetapi bagaimana jasa abang saya?

“Hari Kebangsaan disambut setiap tahun membuatkan saya sedih dan kecewa kerana jasa abang dipandang sepi,” katanya.

Tambah Abu Bakar, dia menuntut royalti RM1 juta setahun selepas berkibarnya Jalur Gemilang pada 1957 di Dataran Merdeka.

“Royalti itu bukan untuk saya tetapi hajat mahu mendirikan masjid atas nama arwah abang.

“Impian saya, satu masjid satu negeri hingga lengkap 14 negeri di Malaysia.

“Saya mahu roh abang tenang di sana kerana saya tidak pernah berfikir untuk menggunakan wang itu bagi tujuan peribadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 12:07 PM