BOMBA sedang membersihkan pokok yang tumbang di sekitar Jalan Kilang Gula petang tadi. FOTO Aizat Sharif
BOMBA sedang membersihkan pokok yang tumbang di sekitar Jalan Kilang Gula petang tadi. FOTO Aizat Sharif
Oleh Aizat Sharif


Padang Besar: Lebih 500 penduduk di Kampung Titi Tampung dan Kampung Guar Medang Gatal di Jalan Kilang Gula, Bukit Jernih, disini terpaksa bergelap hampir empat jam selepas bekalan elektrik di kawasan itu terputus dalam kejadian ribut pada petang tadi.

Ribut turut menyebabkan banyak pokok tumbang serta memutuskan talian telefon sepanjang jalan itu.

Seorang penduduk Kampung Titi Tampung, Nor Shamsuri Saman, 43, memberitahu Harian Metro kejadian berlaku sekitar jam 5 petang apabila ribut menyebabkan pokok di kawasan kampung itu tumbang mengakibatkan bekalan elektrik di kampung itu terganggu.

"Ketika kejadian, saya sedang berada di kawasan kedai runcit di kampung ini dan ribut yang melanda itu menyebabkan banyak pokok tumbang mengakibatkan ianya tersangkut pada kabel elektrik dan telefon," katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Mat Isa, 41, pula berkata, demi keselamatan, penduduk kemudian menghubungi kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) bagi memulihkan semula bekalan elektrik dan talian telefon.

"Malah, demi memastikan keselamatan pengguna jalanraya yang melalui Jalan Kilang Gula ini, kami turut mengambil inisiatif memotong pokok yang tumbang itu agar ianya dapat dilalui," katanya.

Sumber TNB memberitahu bekalan elektrik dan telefon dijangka pulih secara berperingkat selewat-lewatnya pada jam 10 malam ini.

Sementara itu, jurucakap Bomba Perlis memberitahu dua jentera bomba bersama lapan anggota dikerah ke tempat kejadian bagi membantu membantu operasi membersihkan pokok tumbang di laluan itu.

Operasi turut dibantu oleh Jabatan Pertahanan Awam Perlis (JPAM) anggota polis peronda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 11:46 PM