PENG Soon (kanan) dan Liu Ying fokus aksi menentang pasangan China.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sasaran beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Terbuka Vietnam 2015 tercapai apabila mereka menang saingan suku akhir menumpaskan pasangan Indonesia, Andrei Adistia-Vita Marissa.

Peng Soon-Liu Ying yang menduduki tangga ke-19 dunia menumpaskan pilihan keenam itu 21-19, 21-19 dalam tempoh 45 minit di Stadium Nguyen Du.

Menanti mereka di separuh akhir pasangan China, Huang Kaixiang-Huang Dongping yang memperoleh kemenangan percuma selepas wakil Indonesia, Markis Kido-Pia Zebadiah Bernadeth menarik diri pada kedudukan 14-21, 21-11, 6-5.

Menurut Liu Ying, walaupun berjaya mencapai sasaran mara ke separuh akhir, dia bersama Peng Soon mahu melangkah sejauh mungkin tetapi harus fokus ketika bertemu pasangan China itu terlebih dulu.

“Bagaimanapun selepas memenangi set pertama, kami sedikit goyah di set kedua apabila membenarkan pemain lawan meninggalkan kami begitu jauh. Saya ingat akan tewas di set kedua tetapi berjaya bangkit semula,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ujarnya, untuk perlawanan hari ini dia dan Peng Soon akan beraksi seperti biasa dan mereka sempat melihat pasangan berkenaan beraksi ketika mengalahkan Markis dan Vita.

Turut mara ke separuh akhir perseorangan lelaki, Chong Wei Feng yang menumpaskan pemain Jepun, Kenta Nishimoto 22-20, 21-15 dalam 41 minit.

Wei Feng yang diletakkan sebagai pilihan ke-10, akan bertemu pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il yang mengalahkan Sameer Verma dari India 21-15, 24-22.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:05 AM