RAZMAN (kanan) mahu bantu Tok Gajah pertahan Piala Malaysia.
RAZMAN (kanan) mahu bantu Tok Gajah pertahan Piala Malaysia.
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Kapten Pahang Mohd Razman Roslan percaya skuad itu tidak akan berdepan masalah melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas diundi dalam Kumpulan D bersama, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pulau Pinang dan PKNS FC.

Namun, pemain pertahanan Tok Gajah itu berkata, dia bersama rakan sepasukan tidak boleh memandang mudah saingan peringkat kumpulan jika mahu merebut dua slot terbaik membabitkan lapan pasukan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Pada pendapat saya, kami tiada halangan untuk melangkah ke suku akhir tapi tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan kerana saingan Piala Malaysia sememangnya berbeza.

“Semua pasukan akan bermain dengan konsisten untuk melengkapkan kejayaan buat pasukan terutama aksi pertama saingan peringkat kumpulan dengan perlu mencatat kemenangan sebagai suntikan moral.

“Sebagai juara bertahan, kami perlu memastikan piala berprestij itu kekal buat kali ketiga selepas melakukannya pada 2013 dan 2014,” katanya di sini, semalam.

Mohd Razman berkata, selepas terlepas tiga piala, dia bersama rakan sepasukan akan mempertahankan piala itu dan memastikan kemenangan pada setiap perlawanan di peringkat kumpulan.

Katanya, apabila melepasi peringkat kumpulan, cabaran getir bakal dihadapi tetapi skuad itu akan berusaha untuk mempamerkan prestasi terbaik untuk mengharumkan nama Pahang.

“Tapi kami akan melakukan yang terbaik buat pasukan terutama peminat setia bagi memastikan Piala Malaysia kekal biarpun berdepan halangan getir.

“saya harap apabila saingan bermula, prestasi terbaik dipersembahkan pemain kerana biarpun Pulau Pinang dan PKNS FC beraksi sebelum ini beraksi di Liga Perdana, kejayaan mereka layak ke Liga Super perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:09 AM