KLSK ditubuhkan April lalu.
Oleh D J Dolasoh

Lenggong: Kelab Lenggong Soccer Kids (KLSK) kini giat melatih 86 pemain B-12 dalam sukan bola sepak agar bakat mereka boleh digilap ke peringkat negeri dan kebangsaan.

Kelab di bawah naungan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Lenggong (PBSL) itu, dilancarkan April lalu, bertujuan mencungkil bakat muda dalam sukan bola sepak.

Kelab di bawah kendalian ketua jurulatih Mohd Nazran Che Mat (gambar) dan dibantu empat penolong itu membimbing murid Tahun Tiga, Empat dan Lima daripada beberapa sekolah dalam kawasan Parlimen Lenggong.

“Kelab ini memberi peluang kepada generasi muda untuk mereka mengasah bakat mengikut skil sebenar permainan bola sepak.

“Minat dan komitmen ditunjukkan semua peserta setakat ini amat memuaskan dan saya berharap ia tidak berhenti separuh jalan kerana PAFA banyak membantu dalam banyak segi, termasuk menyediakan bola,” katanya ditemui semalam.

Nazran berkata, sesi latihan dibuat mengikut tahap masing-masing iaitu berdasarkan peringkat persekolahan sama ada Tahun Tiga, Empat atau Lima bagi memudahkan mereka menerima teknik diajar.

Menurutnya, peserta diajar lebih kepada praktikal selain teori dalam sesi latihan yang diadakan di Padang Bunga Raya, Lenggong, setiap petang Jumaat dan Ahad.

“Peserta Tahun Tiga diajar perkara asas terlebih dulu seperti bagaimana cara menyepak, menahan dan menendang bola manakala Tahun Empat meningkat kepada kemahiran menendang jauh, tendang ke atas dan sebagainya.

“Bagi Tahun Lima pula, teknik dan skil permainan diajar lebih tinggi termasuk kemahiran menggelecek, mengambil sudut pintu gol dan melakukan jaringan,” katanya.

Menurutnya, mereka yang menunjukkan permainan cemerlang itu nanti akan dipilih mewakili Lenggong ke Kejohanan Liga Amanjaya (KLA) B-12 di Padang Perbandaran Ipoh, pada Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:12 AM