Agensi

Hanoi: Vietnam akan membebaskan lebih 18,200 tahanan sempena sambutan ulang tahun hari kemerdekaannya, program pengampunan kedua terbesar pernah diadakan.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk aktivis politik.

Tahanan berkenaan akan dibebaskan secara berperingkat, bermula Isnin depan menjelang ulang tahun Hari Kebangsaan ke-70 negara itu pada 2 September depan.

“Presiden memutuskan memberikan pengampunan kepada 18,200 banduan yang ditahan bukan kerana jenayah terhadap keselamatan negara,” kata Timbalan Menteri Keselamatan Awam Le Quy Vuong pada sidang akhbar di Hanoi.

Mereka yang akan dibebaskan adalah pesalah yang melakukan pelbagai jenayah, termasuk membunuh, dadah, penyeludupan manusia dan rasuah.

Mereka yang dipenjarakan kerana ‘propaganda’ terhadap negara atau mencuba menggulingkan kerajaan, tuduhan yang biasanya dikenakan terhadap aktivis, tidak termasuk dalam senarai yang akan dibebaskan.

Program pengampunan besar-besaran pertama negara itu diadakan pada 2009 apabila 20,599 tahanan dibebaskan.

Tahun ini, 34 tahanan warga asing, termasuk enam dari Laos, seorang dari Kemboja, seorang Thailand, dua Australia, 16 China, enam Malaysia dan dua Filipina, akan dibebaskan.

Pegawai tidak menjelaskan jenayah yang dilakukan tahanan asing itu.

Hari Kebangsaan Vietnam disambut sempena perisytiharan kemerdekaan negara itu yang dilakukan oleh Ho Chih Minh, pengasas parti komunis negara itu, pada 2 September 1945.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:12 AM