PRESIDEN UEFA Michel Platini (kanan) menyerahkan trofi Pemain Terbaik Eropah kepada Messi.

Monaco: Lionel Messi menambah satu lagi koleksi gelaran peribadinya apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Eropah seperti yang diumumkan UEFA.

Bintang Barcelona itu mengatasi Luis Suarez, rakan sepasukannya di Barcelona serta bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo dalam undian yang dibuat wartawan sukan seluruh Eropah itu.

Messi yang juga Pemain Terbaik Dunia sebanyak empat kali, menerima anugerah UEFA selepas masing-masing berebut dengan Ronaldo untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Juara-Juara. Kedua-duanya menghasilkan 77 gol.

Suarez yang muncul penjaring gol kedua ketika kemenangan 3-1 pada final ketika menentang Juventus, Jun lalu, turut disenaraikan sebagai calon Pemain Terbaik Eropah, hujung Oktober lalu.

Diperkenalkan sejak 2011, anugerah UEFA pernah dimenangi Messi, Andres Iniesta, Franck Ribery dan Ronaldo.

Sementara itu, Celia Sasic yang juga bintang Jerman itu memenangi anugerah Pemain Terbaik Wanita Eropah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:14 AM