Kuala Lumpur: Bilangan mangsa panahan petir di negara ini boleh dikatakan agak tinggi dengan jumlah 230 orang dalam tempoh tujuh tahun lalu berbanding negara lain.

Pengarah Kajian Pusat Kecemerlangan Perlindungan Kilat (CELP) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir berkata, penemuan itu adalah berdasarkan kajian yang dilakukannya sejak 2008 sehingga dua minggu lalu dan ia dibentangkan menerusi satu mesyuarat khas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) mengenai petir di Zambia, baru-baru ini.

Katanya, jumlah mangsa terbabit sama ada maut atau mengalami kecederaan adalah disebabkan keadaan di Malaysia lebih banyak terdedah kepada panahan petir.

“Kajian yang dibentangkan itu melihat terdapat 230 mangsa petir dalam tempoh tujuh tahun dan sudah tentu ia dianggap tinggi. Apa yang dapat dilihat juga, berdasarkan kes yang dilaporkan berlaku di negara ini juga terdapat beberapa insiden membabitkan lebih daripada seorang.

“Ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan bilangan mangsa akibat panahan petir. Jika kita ambil contoh di Amerika Syarikat (AS), nisbah kematian mangsa akibat panahan petir ialah 0.6 per satu juta penduduk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:17 AM