Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kuala Terengganu (D9) menahan empat bot nelayan Vietnam membabitkan nilai rampasan sebanyak kira-kira RM2 juta, Rabu lalu.

Empat bot terbabit bersama 24 awak-awak dan tekong ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda di perairan negeri ini pada jam 8 pagi.

Pengarah Logistik APMM (D9) Leftenan Komander Maritim Mohamad Zainal berkata, sebaik menerima maklumat Bilik Operasi Maritime Wilayah Timur, pihaknya segera ke lokasi yang terletak pada kedudukan 118 batu nautika dari Kuala Terengganu.

"Kita tidak menghadapi masalah untuk menahan mereka kerana ketika itu kumpulan nelayan asing berkenaan sedang leka menangkap ikan," katanya menambah hasil rampasan membabitkan dua tan ikan pelbagai jenis, 12,000 liter diesel, peralatan menangkap ikan dan empat bot yang semuanya dianggarkan bernilai RM2 juta.

Semua yang ditahan berusia antara 15 hingga 54 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 16(30) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap menangkap ikan di perairan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:51 PM