Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM


Kereta saya bergegar ketika berhenti dan ia akan hilang selepas bergerak?

SHAFIQ,

Perlis

Sekiranya memandu kereta lama dan menggunakan karburetor, ada kemungkinan disebabkan pelarasan kelajuan melahu (idle) atau enjin mungkin terlalu rendah.

Anda mungkin perlu melaraskan pelarasan melahu kelajuan enjin atau kadar campuran bahan api dan udara. Ia mudah dibuat sendiri iaitu dengan memusing skru pelarasan melahu yang lazimnya berada di sebelah sambungan kabel pendikit.

Bagi kereta lebih moden, kebanyakan sistem suntikan bahan api elektronik dikawal oleh kotak kawalan elektronik (ECU).

Anda mungkin perlu meminta mekanik memeriksa di pelbagai pengesan (sensor) seperti pendikit yang menyebabkan sistem kawalan elektronik bagi campuran udara dan bahan api dengan betul.

Bagaimanapun, ia mungkin berlaku terhadap sensor oksigen yang menyebabkan ECU sentiasa mengubah jumlah suntikan bahan api dalam mencari nisbah bahan api atau udara.

Ia juga disebabkan pembakaran tidak sempurna pada satu atau lebih silinder ketika RPM rendah, manakala peningkatan dalam RPM enjin menjadikannya tidak ketara.

Beberapa sebab keadaan sebegini berlaku:

1) Palam pencucuh kotor dan perlu pembersihan atau diganti.

2) Injap yang haus kerana suhu operasi enjin terlalu tinggi, pelarasan yang tidak tepat atau menggunakan tanpa plumbum dalam kereta lebih tua yang memerlukan petrol berplumbum.

3) Gasket kepala silinder bocor menyebabkan pembakaran kurang sempurna pada kelajuan RPM enjin yang rendah dan tidak ketara pada RPM lebih tinggi.

4) Kepala silinder retak dan bocor.

5) Omboh retak walaupun jarang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:01 AM