Noorkhiriah tempuh cabaran sebelum bina kerjaya dalam bidang lakonan.
Noorkhiriah tempuh cabaran sebelum bina kerjaya dalam bidang lakonan.

Selain watak wanita kampung dan komedi, dramatis serba boleh Noorkhiriah Ahmad Shapie, 39, juga sinonim dengan jolokan pelakon air mata.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Shahbandar Hussain, Raub dari tingkatan satu hingga tiga. Kemudian ke tingkatan empat dan lima di SMK Tengku Kudin, Raub, aktif berlakon teater sejak zaman persekolahan.

Malah anak jati Raub, Pahang ini pernah menganggotai kumpulan teater Anak Emas di kampung halamannya.

Banyak menyertai persembahan dan pertandingan teater, Noorkhiriah pernah merangkul Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Teater Peringkat Negeri Pahang pada 1995 menerusi lakonan mantapnya dalam teater berjudul Ana.

Sudah terbiasa dengan kesusahan hidup sejak kecil, Noorkhiriah berhijrah ke ibu kota sebaik tamat persekolahan. Berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), impiannya mahu membela nasib keluarga.

Nookhiriah memulakan langkah sebagai penari di Istana Budaya (IB) pada 1997 kemudian menceburi lakonan.

Meskipun mendapat restu ibu bapa, karier lakonan dipilihnya kurang disukai abang sulungnya, Nor Sapizan.

Keadaan berlaku pada awal pembabitan Noorkhiriah dalam lakonan kerana Nor Sapizan yang arif dalam perihal agama, kurang selesa dengan adegan bersentuhan dilakonkan adiknya.

Mewarisi darah seni dimiliki bapa saudaranya, ‘Pak Teh Din’, ibu kepada dua anak itu seorang yang lasak dan tidak gemar berdandan.

Noorkhiriah bekerja dalam sektor perhotelan di Pahang sebelum membuat keputusan membina karier seni.

Bertemu jodoh dengan Azfaizul Ahtan, 38, yang bertindak sebagai pengkritik tetap terhadap mutu lakonannya, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Hudhaifah, 6, dan Muhammad Yusoff, 4.

Lebih 15 tahun aktif membina karier lakonan, Noorkhiriah pernah meraih Anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Drama) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin TV3 (ASK), termasuk tiga trofi Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

Kini, Noorkhiriah yang berhijab sepenuhnya masih berlakon tetapi menceburi perniagaan membuka mini butik busana Muslimah dengan jenama sendiri, Nur by Khiriah, di Tesco Mutiara Damansara, Petaling Jaya sejak 1 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:02 AM