MAZDA MX-5 Skyctiv.
MAZDA MX-5 Skyctiv.
Oleh Erywan Norshal


Sejarahnya bermula pada 1989 apabila Mazda MX-5 menjadi satu daripada model terlaris di pasaran global.

Dalam tempoh 25 tahun, Mazda MX-5 melahirkan empat generasi berbeza dan yang terbaru diperkenalkan pada September tahun lalu, sekali gus menjadi model paling menarik dalam segmen kenderaan kategori roadster.

Bagaimanapun, kehadiran kereta sporty itu buat pasaran tempatan sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminatnya dan menjadi berita baik selepas Bermaz Motor Sdn Bhd mula memperkenalkannya di Malaysia pada pertengahan bulan ini.

Seperti model sebelum ini, Mazda MX-5 Skyactiv dengan jentera dua tempat duduk itu hadir jarak roda dipendekkan dan paling ringan berbanding generasi sebelum ini.

Kini ia memiliki ukuran 3.915 meter (m) panjang dan 1.735m lebar dengan berat 940 kilogram yang dijanakan enjin 2.0 liter Skyactiv-G dengan kuasa maksimum 158 kuasa kuda pada 6,000 rpm dan tork setinggi 200 Nm pada 4,000 rpm.

Berikutan beban jentera yang ringan dengan padanan transmisi Skyactiv-Drive automatik enam kelajuan, ia ternyata menawarkan keseronokan untuk memecut.

Biarpun sebuah jentera sporty, tahap penggunaan bahan api boleh dikatakan memberi bacaan terbaik. Kedudukan pemandunya juga dinaik taraf untuk memberi posisi ideal bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan.

Buat masa ini, Mazda MX-5 Skyactiv hanya hadir dengan varian convertible ‘soft-top’ serta transmisi automatik. Namun, Bermaz Motor turut akan membawa masuk varian yang menggunakan transmisi manual tidak lama lagi.

Bagi membuka bumbung ‘soft-top’, ia tidaklah sukar seperti yang disangka. Ia boleh dibuka sangat mudah dengan menggunakan sebelah tangan dan tidak banyak tenaga diperlukan.

Penampilan jentera itu turut menerapkan rekaan Kodo: Soul of Motion seperti barisan model terbaru Mazda yang tampak menawan dan agresif.

Apa yang cukup gah terhadap model itu adalah kombinasi lampu utama hadapan dan belakang dengan reka bentuk menarik serta unik. Ditambah pula dengan padanan rim rekaan bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar 205/45 R17.

Bahagian kokpitnya pula tampak ringkas dengan kehadiran papan pemuka yang minimum dan tidak terlalu sarat dengan butang, cuma tampak menarik apabila menerima sentuhan sistem hiburan skrin sesentuh LCD tujuh inci dipacukan pembesar suara Bose.

Padanan tempat duduk ‘bucket’ tampak hebat dan memberi posisi yang cukup stabil tidak kira sama ada pemiliknya rendah atau tinggi.

Ia turut dilengkapi sistem terbaru iaitu i-Stop, i-LOOP, Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif (AFS), Bantuan Mula Mendaki, Sistem Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Sistem Amaran Penukaran Lorong dan Butang Kawalan Arahan.

Malah ia dilimpahi dengan pelbagai aspek keselamatan apabila dilengkapi dengan empat beg udara, ABS, EBD, BA, DCS dan TCS. Jentera yang diimport sepenuhnya dari Jepun itu ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu merah, putih, hitam dan kelabu selain dijual pada harga RM226,376.35 atas jalan termasuk insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:02 AM