Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berjaya memberikan aksi terbaik tetapi masih belum cukup untuk mencatat kemenangan. Itulah yang dihadapi pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2015.

Kelmarin, mereka tumpas buat kali ketujuh berturut-turut kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 1-4 dan jurulatih, Arul Selvaraj mengakui masalah utama anak buahnya adalah hilang kepercayaan kepada diri sendiri.

“Kita sebenarnya bermain dengan baik terutama ketika bertemu Maybank dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun kedua-dua perlawanan itu menyaksikan kita kalah tipis 2-3,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tamat kelmarin.

Jelasnya, isu seperti kepercayaan dan keyakinan diri hanya boleh diselesaikan oleh pemain kerana ia membabitkan masalah dalaman.

“Pemain sendiri perlu menyelesaikan masalah ini. Dari segi hantaran, kawalan bola saya lihat semuanya tidak ada masalah, namun saya tidak pernah menyalahkan pemain apabila kita tumpas dalam saingan liga.

“Walaupun liga sudah menghampiri penghujung saingan, saya akan cuba untuk menyelesaikan masalah berkenaan terutama menjelang perlawanan bertemu TNB Ahad ini (hari ini),” katanya.

UniKL masih mempunyai tiga peluang termasuk hari ini bagi mencari kemenangan dan mata pertama, untuk setidak-tidaknya keluar dari tangga tercorot.

Mereka sekarang berada di kedudukan tercorot daripada enam pasukan yang mengambil bahagian dan perlu berusaha keras untuk mencatat kemenangan dalam baki tiga perlawanan, sekurang-kurangnya untuk mampu memintas Maybank di tempat kelima.

Maybank hanya mencatat satu kemenangan iaitu ketika bertemu UniKL Ahad lalu, manakala enam lagi perlawanan menyaksikan mereka tumpas termasuk ketika dibelasah Terengganu Hockey Team (THT) 1-5, 7 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:05 AM