KEADAAN tingkap bilik rumah mangsa yang pecah akibat letupan dipercayai daripada mercun. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN tingkap bilik rumah mangsa yang pecah akibat letupan dipercayai daripada mercun. FOTO ihsan pembaca
Oleh Shamsl Munir Safini

 

Bayan Lepas: Seorang wanita, 69, cedera di muka, leher dan mata selepas terkena serpihan kaca berikutan letupan dipercayai mercun yang dibaling ke tingkap biliknya di Flat Jalan Tengah Bayan Baru, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.30 pagi tadi, mangsa sedang tidur sebelum terdengar bunyi sesuatu dibaling ke bilik dan ternampak api di tingkap sebelum cuba memadamnya.

Mangsa yang tinggal di tingkat satu flat berkenaan memeriksa kawasan tingkap sebelum berlaku letupan menyebabkan kaca tingkap pecah dan cebisannya terkena muka dan beberapa bahagian badan mangsa.

Mangsa difahamkan sering diganggu along selepas meminjam wang daripada kumpulan berkenaan beberapa bulan lalu.

Sebelum kejadian, saksi memberitahu terlihat kelibat tiga lelaki menaiki motosikal dipercayai along di kawasan itu.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi endapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 10:08 AM