PELAJAR dan juruterapi HerbaLine menunjukkan tanda bagus selepas tamat sesi penerangan penjagaan kulit.
JURUTERAPI HerbaLine memberikan nasihat kepada pelajar.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Jerawat adalah masalah biasa yang boleh memberi kesan ke atas persepsi imej dan keyakinan diri. Kesibukan sebagai pelajar ditambah faktor persekitaran menjadikan masalah kulit bertambah serius.

Selain gangguan psikiatri dan kemerosotan kualiti hidup dalam jangka panjang, isu kulit menyebabkan keyakinan diri menurun, masalah dalam hubungan peribadi, pengangguran dan peningkatan tekanan serta kebimbangan.

Menyedari kesan jerawat dalam membina kehidupan yang lebih baik, pada 2009, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Johor menjalankan kajian mengenai jerawat dan ke­sannya ke atas kualiti hidup remaja, khususnya pelajar di Malaysia.

Tinjau selidik ringkas yang dijalankan di beberapa kolej mendapati kebanyakan pelajar yang mengalami masalah kulit adalah lelaki. Hampir 70 peratus daripadanya mengalami masalah kulit seperti jerawat, pori tersumbat dan kulit berminyak. Secara keseluruhan, isu paling biasa di universiti adalah jerawat, kulit berminyak, kulit kering, masalah bintik hitam dan pori besar. Kajian ini menggunakan Sistem Penggredan Jerawat Global untuk menilai kualiti hidup dalam kalangan remaja berjerawat.

Kajian juga mendapati 67.5 peratus daripada remaja mengalami masalah muka berjerawat dan masalah ini meningkat mengikut usia. Lebih ramai remaja lelaki mengalami masalah ini berbanding wanita.

Di peringkat global, satu kajian ke atas 111 pesakit berjerawat berumur 16 tahun dan mereka yang mendapatkan rawatan daripada klinik dermatologi pesakit luar di United Kingdom mendapati tahap masalah sosial dan emosi adalah setanding dengan mereka yang menghidap penyakit kronik teruk seperti arthritis dan epilepsi.

Lebih banyak kajian menunjukkan kadar penularan jerawat dalam kalangan pelajar universiti di Turki adalah 23.1 peratus dan 50 peratus daripadanya adalah remaja. Satu kajian yang dijalankan di Australia juga mendapati pelajar lelaki mengalami masalah jerawat yang lebih teruk berbanding perempuan. Hasil kajian ini adalah konsisten dengan kajian terdahulu yang dijalankan di negara lain.

Menyedari pentingnya kesedaran dalam kalangan remaja mengenai penjagaan diri dan kulit, satu kempen Be Youtiful anjuran HerbaLine diadakan bagi memberi kesedaran dan tumpuan mengenai masalah kulit yang jarang diambil endah.

Kempen Be Youtiful HerbaLine bertujuan menangani masalah kulit yang semakin meningkat serta tahap keyakinan dan kualiti yang menurun dalam kalangan pelajar melalui dua aktiviti penting iaitu siri pameran bergerak mengenai pengurusan kulit dan sesi perkongsian kecemerlangan pelajar oleh Pengarah Urusan HerbaLine C K Low. Kempen itu berjaya menarik 15,000 pelajar di seluruh negara.

Menurut Low, menerusi kempen Be Youtiful ia dapat membantu memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk menangani imej luar dan dalaman mereka, meningkatkan keyakinan dan kecemerlangan pada masa sama, menggalakkan pihak sekolah mengenal pasti, mengurus dan mendidik remaja secara aktif mengenai jerawat.

Sejak memulakan kempen pada Mei lalu, pasukan Be Youtiful mengunjungi beberapa universiti seperti Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC), Universiti Multimedia (MMU), Management & Science University (MSU), HELP, Universiti Sunway dan Kolej UCSI. Pameran bergerak akan ke Pulau Pinang, Kuantan, Terengganu dan Johor pada masa akan datang.

Selain memperlihatkan cara penjagaan kesihatan kulit dan kecantikan luaran, Low juga melawat kolej dan universiti untuk meng­galakkan pelajar menjaga kecantikan bagi menambah keyakinan, memperkasakan diri dan meningkatkan kecemerlangan akademik.

Pameran bergerak Be Youtiful menawarkan perkhidmatan perundingan, pemeriksaan, petua dan kefahaman mengenai cara penjagaan kulit wajah kepada pelajar secara percuma. Pelajar juga ditawarkan perkhidmatan rawatan muka terkini HerbaLine Quick Cleanse yang pada asasnya membersihkan bintik putih dan hitam serta jerawat pada zon T muka dalam masa hanya 20 minit.

Pelajar juga berpeluang menyertai peraduan SNAP, POST & WIN dengan mengambil gambar mereka sendiri selepas sesi membersih muka kemudian memuat naik gambar menerusi laman Facebook HerbaLine untuk mendapatkan paling banyak Likes bagi melayakkan mereka memenangi hadiah produk HerbaLine.

Pada akhir program Low membuat kesimpulan masalah kulit semakin ketara dalam kalangan remaja dan terus meningkat pada masa akan datang.

“Ini terbukti apabila terdapat kenaikan 30 peratus pelajar sekolah dan kolej yang mengunjungi spa muka kami manakala pelanggan lelaki kami juga bertambah 40 peratus sepanjang tiga tahun yang lalu,” kata Low.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:00 AM