Kuala Lumpur: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) meletakkan sasaran untuk melatih sehingga 3,000 pelajar dalam bidang kemahiran menjelang akhir tahun ini dengan hampir 80 peratus mendapat tangga gaji lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, dengan kerjasama lebih 50 rakan strategik, yayasan bertanggungjawab mendapatkan pelajar berminat menjalani latihan kemahiran bagi memperbaiki taraf kehidupan masing-masing.

“Kami menawarkan program latihan kemahiran untuk remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikenali sebagai Peneraju Skil Iltizam apabila mereka boleh memilih untuk mengikuti latihan mengikut industri.

“Selain berpeluang meningkatkan kemahiran, mereka juga ditawarkan bekerja selepas tamat latihan dengan tangga gaji yang lebih baik,” katanya, di sini.

Menurutnya, sehingga hujung tahun lalu, yayasan melatih 1,366 pelajar dan berdasarkan program dijalankan sebelum ini, lebih 80 peratus pelajar mendapat pekerjaan dengan tangga gaji lebih baik berbanding mereka tidak mempunyai kemahiran.

“Sebagai contoh, lepasan SPM yang mengikuti latihan dalam bidang kimpalan. Mereka akan menjalani latihan dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Jika dilihat pada kelayakan akademik, mereka mungkin mendapat pekerjaan dengan gaji rendah, namun dengan memiliki sijil kemahiran, mereka mampu menjana pendapatan kasar sehingga RM1,800 sebagai jurukimpal selepas tamat latihan,” katanya.

Raja Azura berkata, pihaknya kini memberi penekanan kepada lapan industri iaitu minyak dan gas, kesihatan, kewangan, perkhidmatan perniagaan, pelancongan, logistik, elektrik dan elektronik serta infrastruktur dan kandungan komunikasi.

Selain program latihan untuk lepasan SPM, yayasan turut membuka ruang kepada pekerja mahu meningkatkan kemahiran sedia ada melalui program Peneraju Skil.

“Sasaran kami untuk memastikan pelatih Peneraju Skil Iltizam mendapat gaji sekurang-kurangnya RM1,500 manakala, pelatih Peneraju Skil (RM3,800),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:03 AM