caj PSC dikawal selia kerajaan dan dikutip terlebih dahulu daripada penumpang oleh syarikat penerbangan.
caj PSC dikawal selia kerajaan dan dikutip terlebih dahulu daripada penumpang oleh syarikat penerbangan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mempertimbangkan langkah lebih agresif menuntut semula bayaran tertunggak daripada syarikat penerbangan.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, kebanyakan bayaran tertunggak berkaitan caj perkhidmatan penumpang (PSC), iaitu caj yang dikawal selia kerajaan dan dikutip terlebih dahulu daripada penumpang oleh syarikat penerbangan dengan memasukkannya dalam harga tiket penerbangan.

“PSC perlu dibayar kepada MAHB apabila penumpang menaiki pesawat mereka untuk penyelenggaraan dan peningkatan kemudahan dijalankan secara berterusan serta perkhidmatan di lapangan terbang untuk penumpang.

“Pelbagai cara diambil bagi menyelesaikan isu bayaran tertunggak ini. Kami harap syarikat penerbangan terbabit memberi kerjasama lebih baik dalam melunaskan bayaran itu kepada kami,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, MAHB sentiasa menghubungi syarikat penerbangan terbabit berkenaan isu tunggakan termasuk menghantar notis peringatan berkala serta surat memohon bayaran.

Badlisham berkata, MAHB mempertimbangkan langkah lebih tegas termasuk mengeluarkan Surat Tuntutan serta menggunakan hak dan remedi diperuntukkan kepadanya di bawah undang-undang.

“Ini termasuk tindakan di bawah Peraturan 177 Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 1996 terhadap syarikat penerbangan ingkar yang antara lain memperuntukkan syarikat dilesenkan boleh mengambil tindakan tidak membenarkan sesebuah pesawat berlepas dari lapangan terbang sehingga caj tertunggak dilunaskan,” katanya.

Beliau berkata, selain surat peringatan dan surat rasmi, MAHB juga berbincang secara bersemuka dengan syarikat penerbangan berkenaan bagi mengadakan kaedah sesuai pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:03 AM