Bangalore: Cendekiawan India semalam mengecam pembunuhan seorang ilmuan ternama India yang menyelar penyembahan berhala sehingga mencetuskan kemarahan kumpulan pelampau Hindu.

Tokoh akademik dan penulis MM Kalburgi yang berasal dari Karnataka ditembak pagi kelmarin ketika membuka pintu rumahnya.

Dia mati di hospital.

Motif pembunuhan tidak diketahui, tetapi Kalburgi, 77, diberi perlindungan polis sejak beberapa tahun lalu selepas menerima ancaman daripada pelampau Hindu.

Kawalan itu ditarik balik atas desakan Kalburgi kerana tidak mahu terkongkong.

Kalburgi yang mengajar di Universiti Kannada di Karnatakan sering menyelar kepercayaan karut dan mempersoal penyembahan berhala oleh penganut Hindu, penduduk majoriti India.

Penulis dan cendekiawan menyuarakan rasa marah ketika mereka berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir kepada Kalburgi.

Pembunuhannya juga mencetuskan bantahan di Karnataka dengan rakan dan penyokongnya mendesak polis menyiasat kejadian itu.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan pelampau Hindu meraikan kematiannya di media sosial. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 9:09 AM