Roberts dan isteri, Martha.
ROBERTS mempunyai rekod menunjukkan kecederaan yang dialaminya akibat disambar petir.
Agensi

Seneca (Amerika Syarikat): Seorang lelaki yang mendakwa disambar petir 11 kali bertegas menyatakan dia berkata benar walaupun pakar dan Rekod Dunia Guinness menyuarakan rasa sangsi.

Melvin Roberts, 62, dari Seneca di Carolina Selatan mendakwa pernah disambar ketika memandu jentolak dan dua kali ketika memesin rumput.

“Petir itu seolah-olah menanti saya. Daging dalam badan saya terasa seperti dimasak,” kata Roberts.

Dia mempunyai rekod perubatan untuk menunjukkan kecederaan yang dialaminya yang menurut doktor, selari dengan kecederaan akibat disambar petir, termasuk hilang ingatan seketika serta sukar bercakap.

“Anda hilang deria rasa selama beberapa hari. Semua yang dimakan terasa belerang,” katanya.

Sebelas kejadian disambar petir itu berlaku sepanjang 12 tahun lalu. Doktor juga terkejut dengan pengalaman Roberts. Ramai pakar sangsi dengan dakwaan lelaki itu.

Seorang pakar berkata, disambar petir secara langsung 11 kali sesuatu yang mustahil.

Guinness World Records enggan memasukkan pengalaman Roberts dalam bukunya kerana mereka tidak mempunyai bukti secukupnya.

Bagaimanapun, isteri Roberts, Martha berkata, dia melihat sendiri sembilan daripada 11 kejadian yang menimpa suaminya.

“Setiap kali mendengar petir saya akan segera masuk ke bilik. Ada orang yang perlu menelefon agensi bantuan kecemasan,” katanya sambil ketawa.

Roberts juga mendakwa mempunyai kotak berisi jam menunjukkan masa yang tepat dia disambar petir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 9:17 AM