TAYLOR Swift terus unggul dengan bolot empat trofi pada acara berprestij Anugerah Muzik Video MTV 2015.
Susunan Georgie Joseph

Jelas sangat berada di ambang kegemilangannya sekarang, nama Taylor Swift makin kukuh dengan kemenangan demi kemenangan di setiap acara pengiktirafan. Kemenangan besarnya semalam pada acara berprestij Anugerah Muzik Video MTV 2015 (MTV VMA 2015) semestinya sudah boleh dijangka.

Kukuhnya nama penyanyi itu meletakkan dia penyanyi paling berkuasa sekarang ini. Bukan saja kejayaan besar setiap lagunya, bahkan ratusan trofi sudah menjadi miliknya termasuk empat yang baru dibolotnya semalam.

Berlangsung penuh gilang-gemilang di Microsoft Theater, Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS), Taylor membawa trofi utama Video Terbaik 2015 selain Video Pop Terbaik, Video Wanita Terbaik, dan Kolaborasi Terbaik.

Pada pentas pertembungan superstar tersohor dunia itu, penyanyi Bad Blood terbabit turut memperdengarkan lagunya bersama Nicki Minaj berjudul Wildest Dream. Ketika menerima trofi Video Terbaik, dia turut membawa rakan artis yang terbabit dalam muzik video berkenaan.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kendrick Lamar. Dia menjadi pengaruh positif saya selama ini.

“Saya tahu ada banyak perdebatan yang tercetus mempersoalkan konsep video itu namun kita sekarang hidup di dunia di mana semua wanita boleh menjadi puteri, lelaki boleh jadi askar,” ucapnya ketika menerima trofi utama hasil kemenangan video kolaborasinya bersama penyanyi rap, Kendrick Lamar.

Menjadi acara tahunan terhebat, pentas kali ini tidak terkecuali dihiasi dengan drama yang berlaku seperti tahun sebelumnya. Bukan sekadar persembahan hebat dan tersendiri setiap penghibur, malah beberapa babak menarik turut menjadi sebutan.

Ia termasuk pengakuan penyanyi rap yang sentiasa mencetus kontroversi, Kanye West yang mengumumkan mahu bertanding jawatan Presiden AS pada 2020. Ketika menerima trofi Video Vanguard Award, dia juga sempat meminta maaf terhadap kelakuannya kepada Taylor tidak lama dulu.

Begitu juga dengan penyanyi fenomena, Justin Bieber yang turut menghangatkan pentas pada tahun ini. Cukup mendapat perhatian dengan penampilan maskulinnya di karpet merah, penyanyi berkenaan turut membuat penonton sebak apabila menangis di akhir persembahan.

Justin mendendangkan lagu terbarunya, Where Are U Now (menampilkan Skrillex & Diplo) selepas lama tidak beraksi. Penuh beremosi, dia kelihatan mahu pastikan persembahan itu mengingatkan dia mengapa peminat menyukainya awal dulu selepas kebelakangan ini memilih lebih ‘low-profile’.

Selain ‘drama’ berkenaan, pemilihan penyanyi berani mati Miley Cyrus mengacarakan MTV VMA 2015 mendapat pelbagai reaksi berbeza awalnya. Bagaimanapun, penya­nyi Wrecking Ball itu berjaya mewarnai keseluruhan acara dengan caranya tersendiri.

Ketika Nicki Minaj menerima trofi Video Hip Hop Terbaik, Miley sempat bertekak dengan penyanyi Anaconda itu menggamatkan lagi suasana majlis.

Turut membuat persembahan pada acara berkenaan termasuk bintang yang semakin meningkat naik, The Weeknd. Mendendangkan lagu Can’t Feel My Face, tindakan penyanyi itu membawa keluar bekas anggota One Direction iaitu Zayn Malik turut mencetus spekulasi.

Kanye juga nampaknya sangat menyukai penyanyi terbabit apabila dilihat berdiri dan menari dengan penuh keseronokan mendengar persembahan berkenaan.

Tidak ketinggalan, beberapa nama baru termasuk Tori Kelly, Walk The Moon, Twenty One Pilots, A$AP Rocky, serta nama handalan lain iaitu Nick Jonas, Pharrell, Macklemore & Ryan Lewis dan Demi Lovato juga beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 9:54 AM