PRESIDEN  KRM, Datuk Wira Amiruddin Embi (tengah) membuat simbolik perasmian sidang media Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi ke-33.
PRESIDEN KRM, Datuk Wira Amiruddin Embi (tengah) membuat simbolik perasmian sidang media Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi ke-33.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kejohanan Piala Agong yang akan membuka pentasnya Sabtu ini bakal dijadikan platform utama mencungkil bakat baru sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) dengan skuad kebangsaan akan bersaing dalam divisyen satu musim depan.

Selepas cemerlang menjuarai divisyen dua Mei lalu, pengurus pasukan negara Raimi Yusof percaya momentum baik itu mampu diteruskan biarpun mengakui saingan di peringkat itu lebih mencabar dan sukar.

“Persaingan di divisyen satu sudah semestinya berbeza kerana tiga pasukan lain yang akan ditentang memiliki ranking lebih baik daripada pasukan negara.

“Sebab itulah persediaan kita akan bermula dengan mencari pemain baru di kejohanan (Piala Agong) itu nanti. Namun ingin saya tekankan, kami bukannya mahu menukar kesemua pemain yang ada sekarang (skuad kebangsaan) tapi mungkin ada tiga atau empat muka baru yang akan diketengahkan.

“Lagipun sememangnya dari dulu KRM (Kesatuan Ragbi Malaysia) sering memantau kejohanan itu yang dijadikan lubuk merekrut pemain negara,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-33 itu bakal disertai 13 pasukan negeri termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dibahagikan kepada lima kumpulan dengan Kumpulan A terdiri naib juara musim lalu Terengganu bersama Negeri Sembilan dan Selangor manakala Kelantan, Kuala Lumpur dan Perak menghuni Kumpulan B.

Kumpulan C pula diisi Perlis, ATM dan PDRM manakala Johor, Putrajaya dan Pulau Pinang berada dalam Kumpulan D.

Juara bertahan Sabah sudah layak lebih ke peringkat berikutnya selepas diletakkan di dalam Kumpulan E tanpa ada pasukan lain.

“Malah pemain senior juga akan dipantau prestasi mereka dan sekiranya gagal menunjukkan aksi terbaik kemungkinan nama mereka tidak akan tersenarai dalam latihan pusat akan datang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 8:46 AM