Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya lima jurulatih baru untuk skuad senior dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) diperlukan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen menjelang awal 2016.

Menurut Frost, mereka baru-baru ini kehilangan seorang lagi jurulatih Zhou Yang yang ditugaskan membimbing skuad tingkatan satu SSBJ, namun seperti biasa, beliau masih menganggap perkara berkenaan normal.

“Situasi ini perkara biasa, ia berlaku apabila kita cuba untuk melakukan pembaharuan. Ada jurulatih akan melakukan perkara baru serta berubah angin di tempat baru,” katanya dalam sidang media di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, beliau sedang bekerja keras dan sudah memberitahu pengurusan BAM untuk memburu jurulatih baru.

“Saya sudah mendapat kelulusan minggu lalu, dalam tempoh beberapa bulan ini kita akan cuba mencari tiga jurulatih baru yang akan ditempatkan di SSBJ dan dua lagi di sini (Stadium Juara). Saya sudah mempunyai senarai pendek dan akan melakukan penawaran.

“Tugas ini sudah pasti akan berlangsung sehingga hujung tahun dan kita akan mula menawarkan kontrak kepada mereka awal Januari tahun depan. Mungkin pengumuman kedatangan mereka akan dilakukan pada bulan pertama atau kedua kerana untuk menggantikan lima jurulatih bukan mudah,” katanya.

Kata bekas pemain perseorangan Denmark itu, dia lebih berminat mencari jurulatih tempatan, cuma sekarang ini ada di antara calon berkenaan mempunyai komitmen dengan pasukan lain.

“Mereka memang sedia untuk berbincang, cuma sekarang ini kita perlu bergantung dengan situasi mereka dengan pasukan lain. Saya memang ada berbincang dengan Lee Wan Wah dan bersedia menimbang tawaran kami.

“Ia mudah kalau ada di antara mereka tidak terikat dengan mana-mana pasukan. Tidak mudah untuk mendapatkan mereka pada masa sesuai,” katanya.

Zhou Yang sebelum ini bersama pasukan program Pahang dan mula berkhidmat dengan BAM awal Oktober tahun lalu.

Sebelum ini BAM sudah kehilangan beberapa jurulatih termasuk Tan Kim Her (beregu campuran), Rosman Razak (beregu wanita) dan Rashid Sidek (perseorangan lelaki).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:55 AM
Digital NSTP Subscribe