BAWA selimut atau bantal tidur yang biasa digunakan untuk wujudkan suasana seperti di rumah.
BAWA selimut atau bantal tidur yang biasa digunakan untuk wujudkan suasana seperti di rumah.
Susunan Nor Hanisah Kamaruzaman

Ibu bapa pasti gembira jika percutian disertai anak-anak kerana selain dapat membuat mereka gembira, percutian dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Namun, kanak-kanak mudah bosan terutama apabila perlu menunggu tanpa melakukan sebarang aktiviti. Berikut beberapa tip bagi memastikan kanak-kanak kekal gembira sepanjang percutian.

- Terima idea mereka

Ketika merancang percutian, bincang bersama anak-anak yang mengikuti percutian itu supaya mereka turut teruja. Berikan mereka peluang memberi pendapat mengenai lokasi yang bakal dituju atau aktiviti yang ingin dilakukan. Dengan ini, mereka akan seronok dan tidak sabar bercuti bersama anda.

-Bawa snek dan mainan

Perjalanan yang panjang atau waktu menunggu yang membosankan mempe­ngaruhi keseronokan atau mood kanak-kanak. Berikan beg galas mengikut saiz yang sesuai untuk membawa snek dan mainan supaya mereka tidak bosan atau penat menunggu.

-Beri suasana rumah

Kadangkala kanak-kanak sukar menyesuaikan diri atau tidur di lokasi. Bawa bersama bantal tidur atau selimut mahupun cawan atau botol air kegemaran mereka. Ia bukan saja membuat kanak-kanak selesa, malah memberi sentuhan seperti berada di rumah.

-Cuba sesuatu yang baru

Bercuti adalah peluang melakukan aktiviti yang baru atau yang jarang dilakukan terutama apabila berkunjung ke luar negara. Lakukan sesuatu yang baru seperti menaiki ‘tuk tuk’ di Thailand kerana ia tiada di negara kita. Ia bukan saja memberi pengalaman baru, malah kanak-kanak teruja melakukan aktiviti berkenaan.

-Rakam memori bersama

Setiap kali melakukan aktivit atau mengambil gambar, jangan lepaskan peluang merakam detik indah itu bersama anak-anak. Berikan mereka peluang mengambil gambar sendiri atau memilih ‘shot’ terbaik. Dengan itu, kanak-kanak bukan saja rasa dihargai, malah memori percutian itu menjadi lebih dekat dan bermakna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 8:30 AM