Oleh Mary Victoria Dass dan Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Lebih 2,000 penduduk menunggu seawal jam 4 petang bagi menyaksikan istiadat persandingan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan isterinya Che Puan Khaleeda Bustamam yang dipaparkan secara langsung di skrin gergasi di Dataram Bandaraya Johor Bahru.

Suri rumah, Safiah Abdullah, 60, berkata dia menunggu di dataran lebih awal kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan istiadat persandinganTunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya, Che Puan Khaleeda Bustamam.

Menurutnya, biarpun hanya menyaksikan majlis di skrin gergasi, ia amat bermakna baginya dan keluarga kerana turut dapat berkongsi kegembiraan pasangan mempelai.

Safiah yang menetap di Kulaijaya, berkata dia bersama suami dan cucu sudah merancang untuk menyaksikan persandingan berkenaan sejak tiga hari lalu.

"Kami sedar bahawa banyak laluan yang ditutup bagi memberi ruang kepada majlis persandingan ini. Oleh itu, kami sampai lebih awal. Seronok menyaksikan istiadat persandingan keluarga kerabat berkenaan dan bersama-sama berpeluang merasakan kemeriahan," katanya.

Sementara itu, Narrysha Saadon, 16, berkata kehadiran orang ramai untuk menyaksikan majlis berkenaan dianggap sebagai hadiah kepada pasangan mempelai berkenaan.

“Kami selesa duduk di khemah disediakan bagi menyaksikan majlis berkenaan di skrin gergasi disediakan. Ini adalah pengalaman pertama saya menyaksikan pelangsungan majlis secara langsung dan menjadi kenangan manis," katanya.

Suri rumah, Chan Pui Cheng, 53, berkata dia amat teruja menyaksikan majlis istiadat persandingan itu kerana ia adalah yang pertama kali buatnya dan tidak mahu melepaskan peluang yang ada.

"Sebelum ini, bukan mudah untuk melihat majlis diraja dan hanya dapat melihat gambar di akhbar, namun dengan adanya skrin sperti ini sudah pasti sebagai rakyat, saya gembira dapat melihat anak raja berkahwin. Anak saya yang paling bersemangat kerana ini juga satu pembelajaran buatnya apatah lagi kami berbangsa Cina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 8:41 PM