FOTO ihsan Polis
Oleh Nur Saliawati Salberi


Jasin: Seorang pemandu lori maut selepas lori dipandunya terbabas dan melanggar tebing tanah, di Jalan Ladang Taman Buah-Buahan Tropika Melaka, Selandar, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa, Mohd Nasir Kasman, 55, maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa yang juga pesara tentera dalam perjalanan dari Machap menghala ke kawasan ladang Jabatan Pertanian Selandar untuk menghantar bekalan baja sebelum terbabit dalam kemalangan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian yang jalannya curam menuruni bukit, lori dipandu mangsa hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek.

"Mangsa yang tersepit kemudian dibawa keluar oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superitendan Muhd Nur Hishammuddin Hashim mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 4:42 PM