PRODUK kraf mampu tampilkan dekorasi menarik.
PERMINTAAN tinggi membuatkan pencinta seni kraf tidak menang tangan.
AZIZAH tekun menyiapkan produk kraf di kediamannya.
Oleh Mohd Amin Jalil


Nilai estetika kraf rotan mampu menjadi tarikan semua golongan sehingga diiktiraf antara produk bermutu tinggi dan eksklusif.

Kraf sinonim dengan gaya ruang dalaman berkonsepkan warisan Melayu dan Nusantara.

Aspek ketahanan dan semula jadi membuatkan ia menjadi pilihan utama untuk hiasan dalam atau luar kediaman.

Azizah Ahmad, 52, antara usahawan kraf di Negeri Sembilan yang tahu menilai keistimewaan kraf.

“Kraf rotan menjadi pilihan utama saya kerana kerja penghasilannya daripada proses bahan mentah, anyaman hingga kemasan terakhir memerlukan ketekunan dan kepekaan.

“Apabila produk itu terhasil, ia menjadi daya tarikan dan kraf cenderahati yang ringkas tapi mempunyai nilai seni yang tinggi,” katanya yang menceburi dunia kraf rotan sejak 1988 hasil bantuan Kraftangan Malaysia.

Permintaan yang tinggi terhadap kraf rotan membuatkan pencinta seni itu tidak menang tangan menghasilkan produk terbaik selari cita rasa pelanggan.

Daripada produk kecil berbentuk cenderahati, beg tangan, bakul, tudung saji dan pelbagai guna hingga elemen untuk hiasan ruang rumah, semuanya dihasilkan dengan penuh ketelitian.

Malah, usahawan berkenaan turut terkenal dengan kraf bakul dan beg tangan yang bersifat eksklusif.

“Rotan pulur menjadi material utama untuk setiap produk kraf yang saya hasilkan dan bagi menampilkan kelainan, saya mengetengahkan anyaman satu, tiga dan silang.

“Setiap produk membawa perlambangan menarik dengan 1,001 nilai estetika,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa Dahlia Senawang Negeri Sembilan.

Azizah yang juga antara jurulatih kraf Perbadanan Kraftangan Malaysia mengakui daya kreativiti dan inovasi menjadikan nilai produknya bermutu tinggi dan eksklusif.

“Produk kraf diterima baik di pasaran tempatan dan luar negara seperti Singapura, Eropah dan United Kingdom,” katanya.

Pemilik syarikat Zafialno Enterprise itu menganggap perniagaannya dalam produk rotan hasil kegigihannya memartabatkan industri kraf tangan rotan.

“Zaman sudah moden dan kita perlu bergerak seiring dalam usaha menarik perhatian masyarakat hari ini terutama golongan muda untuk mencintai kraf tangan tempatan,” katanya.

Dia yang bergerak bersama ahli Kelab Usahawan Kraftangan Negeri Sembilan berhasrat menjadikan negeri Adat Perpatih itu destinasi pilihan orang ramai untuk mendapatkan produk kraftangan bermutu khususnya rotan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:19 AM