MAJLIS pelancaran album Titipan Banduan Muda yang turut dihadiri Tengku Amir Shah (kanan).
Syanty Octavia Amry


Selepas 10 tahun menanti, peserta program Talent For The World, Shazzwan, 28, gembira apabila album sulungnya terhasil.

Album berjudul Titipan Banduan Muda itu memuatkan lapan lagu ciptaannya sendiri.

Tidak gentar dengan saingan penyanyi lain dan hadir sebagai bekas pesalah juvana, Shazzwan mahu masyarakat lebih bersikap terbuka dalam memberi peluang kepada orang sepertinya.

“Mungkin kenakalan saya dulu memberi hikmah apabila daripada 100 peserta, saya terpilih menjadi peserta program Talent For The World,” katanya.

Shazzwan turut memperoleh pengalaman berharga apabila dibimbing penyanyi hip hop terkenal, Yogi B yang juga bekas anggota kumpulan hip hop, Poetic Ammo.

“Lebih manis apabila pengajian saya terhadap program ini tamat, album turut dilancarkan dan berharap ia akan diterima ramai,” katanya pada maj­lis pelancaran album Titipan Banduan Muda, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda dan Datin Paduka Tengku Zatashah Sharafuddin.

Memilih muzik hip hop, bapa kepada seorang cahaya mata ini berkata, hatinya mula tertarik dengan muzik berkenaan sejak mendengar lagu nyanyian penyanyi rap terkenal antarabangsa, Tupac Shakur.

“Saya meminati muzik sejak berusia 12 tahun. Apabila mendengar lagu Tupac hati terus terpikat dengan muzik hip hop.

“Ketika berusia 15 tahun saya dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak. Di sana hampir 400 lagu saya hasilkan dan lapan lagu ini adalah antara yang terbaik dipilih.

“Syukur, impian budak nakal seperti saya terlaksana biarpun terpaksa melalui pelbagai halangan dan rintangan,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:28 AM