Fardy Bungga


Subang Jaya: Lelaki warga nepal berusia 30-an ditemui mati oleh rakan serumahnya di Jalan BP 7/14, Bandar Bukit Puchong, kira-kira 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya keluar bersama untuk minum arak di sebuah kedai berhampiran rumahnya pada 9 malam, semalam.

Bagaimanapun, katanya, ketika minum arak bersama, berlaku pertengkaran mengakibatkan seorang daripada rakannya bertindak memukul mangsa dengan menggunakan sebatang kayu.

"Mangsa cedera dalam kejadian berkenaan tetapi masih sedarkan diri dan pulang sendiri ke rumahnya yang terletak berhampiran kedai menjual minuman keras terbabit.

"Pada kira-kira jam 7 pagi ini, rakan serumah mangsa cuba mengejutkan mangsa sebelum menyedari mangsa sudah meninggal dunia. Mereka hanya membuat laporan polis pada jam 1.45 petang tadi,"katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah menahan tiga lelaki warga Nepal berusia 25 hingga 30 tahun untuk disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:59 PM