X
BEBAN kewangan meningkat seiring dengan perkembangan teknologi rawatan kanser.
BEBAN kewangan meningkat seiring dengan perkembangan teknologi rawatan kanser.
SIDANG akhbar dapatan kajian impak kanser terhadap ekonomi di Asia Tenggara.
SIDANG akhbar dapatan kajian impak kanser terhadap ekonomi di Asia Tenggara.
Oleh Zaitie Satibi


Dahulu, mereka yang disahkan menghidap kanser ibarat berdepan hukuman maut kerana peluang untuk penyakit terbabit sembuh sangat tipis dan ada yang tidak mampu diubati.

Namun, kemajuan teknologi dalam bidang perubatan mengubah tanggapan negatif itu dan semakin ramai pesakit kanser dapat dipulihkan, malah kadar peluang untuk mereka terus hidup masih tinggi.

Kini, kanser bukan lagi penyakit yang menakutkan sebaliknya kos bagi membiayai rawatan penyakit terbabit yang menghantui hidup pesakit kanser. Ini kerana, tanggungan kewangan untuk rawatan kanser turut meningkat dan semakin membebankan terutama kepada pesakit berpendapatan rendah dan apabila tahap kanser sudah lanjut ke peringkat akhir.

Realitinya, ramai pesakit kanser terpaksa bergolok-bergadai untuk menampung kos rawatan termasuk pembedahan dan ubatan. Bukan sedikit yang terpaksa mengikat perut asalkan penyakit dapat diubati, di samping menebalkan muka meminjam wang atau memohon sumbangan orang ramai. Lebih memburukkan keadaan, ada pesakit kanser mengambil jalan mudah menamatkan riwayat sendiri kerana tidak tertanggung berdepan masalah kewangan.

Menurut kajian terbaru kos dalam onkologi di negara Asia Tenggara (ACTION) yang dijalankan The George Institute for Global Health, kira-kira 75 peratus pesakit kanser berdepan maut atau ancaman bencana kewangan dalam jangka waktu setahun selepas didiagnosis.

Bagi segelintir jenis kanser, kadar kematian dalam tempoh setahun itu lebih tinggi di Asia Tenggara berbanding di negara Barat. Peningkatan populasi penduduk dan populasi warga emas serta gaya hidup sihat yang semakin merosot menambah beban terbabit.

Oleh itu, tindakan segera diperlukan bagi melindungi penduduk daripada tanggungan kewangan akibat penyakit dan bagi mengurangkan kesan kehilangan produktiviti. Ini berikutan kanser akan menjadi beban kepada masyarakat dan sistem perawatan kesihatan di Asia Tenggara termasuk mengakibatkan krisis ekonomi di rantau berkenaan jika tiada tindakan diambil.

Pakar Statistik dan Epidemiologi institut berkenaan, Profesor Mark Woodward berkata, kos rawatan kanser tidak hanya menjejaskan pesakit, tetapi juga keluarga mereka dan masyarakat keseluruhannya.

Disebabkan itu, pihak penyelidik berharap hasil daripada kajian ACTION dijalankan itu berupaya membantu kerajaan di setiap negara Asia Tenggara membentuk strategi dan polisi untuk memerangi kanser dalam jangka waktu panjang.

Peningkatan populasi warga emas dan beban kanser di rantau ini mengarah kepada risiko kanser menjadi wabak yang akan melanda Asia Tenggara. Dianggarkan lebih 770,000 kes kanser baru dikesan, manakala 527,000 kematian akibat kanser dilaporkan di Asia Tenggara pada 2012. Bilangan kes kanser baru dijangka meningkat kira-kira 70 peratus dan mencapai 1.3 juta pesakit pada 2030.

“Dengan pertambahan beban semua kanser di rantau ini, tindakan segera diperlukan untuk melindungi populasi penduduk daripada kesulitan kewangan akibat penyakit terbabit dan untuk mengurangkan kesan penurunan produktiviti ekonomi.

“Tindakan segera juga membabitkan keperluan mewujudkan atau memanfaatkan jaringan keselamatan sosial sedia ada dengan lebih baik bagi mengelakkan masyarakat jatuh miskin atau berdepan masalah ekonomi selepas dikesan menghidap kanser terutama mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah,” katanya ketika membentangkan kajian mengenai ACTION dalam sidang akhbar di Bali, Indonesia, baru-baru ini.

Turut hadir, Pakar Epidemiologi Kanser, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Nirmala Bhoo-Pathy dan Pensyarah Polisi Kesihatan Awam, Universiti Indonesia, Profesor Dr Hasbullah Thabrany.

Kajian ACTION menyelidik kos yang dikeluarkan membabitkan peserta seramai 9,513 pesakit kanser di lapan negara Asia Tenggara iaitu Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam bertujuan menilai impak kanser terhadap ekonomi isi rumah, kelangsungan hidup pesakit dan kualiti hidup.

Kajian ini memberikan bukti nyata bahawa negara di Asia Tenggara perlu membentuk polisi yang dapat meningkatkan akses rawatan kanser dan menawarkan perlindungan kewangan mencukupi daripada beban biaya penyakit.

ACTION dijalankan berikutan kanser dinamakan sebagai penyebab utama kematian di seluruh dunia dengan 8.2 juta kematian pada 2012, manakala cabaran kanser di Asia Tenggara adalah ketara dengan 70 peratus kematian global dalam dua dekad akan datang diramalkan dalam kalangan negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Tanggungan ekonomi akibat rawatan kanser pada sistem kesihatan, individu dan isi rumah akan meningkat seiring dengan perkembangan teknologi dan rawatan dalam perubatan di seluruh rantau ini. Beban kewangan akan lebih terasa dalam kalangan kumpulan sosioekonomi kurang beruntung terutama mereka yang menetap di negara berpendapatan rendah dan sederhana, di samping jaringan keselamatan sosial terhad.

Justeru kanser boleh menjadi penyebab utama masalah kewangan disebabkan rawatan yang sangat mahal, manakala penyakit juga menjejaskan keupayaan pesakit untuk bekerja. Masalah kewangan boleh menyebabkan kesan buruk kepada pesakit kanser apabila ia menjejaskan corak rawatan.

Temubual kaji selidik bersama populasi pesakit bekerja dengan purata usia 52 tahun berlangsung pada diagnosis asas iaitu tiga bulan dan 12 bulan. Dapatan utama adalah ancaman bencana kewangan apabila ditakrifkan lebih 30 peratus daripada perbelanjaan isi rumah terpaksa digunakan untuk rawatan kanser selama 12 bulan selepas didiagnosis.

Dapatan lain termasuk kematian, kualiti hidup, kesengsaraan psikologikal dan status penyakit. Semua peserta adalah pesakit kanser di hospital kerajaan dan swasta iaitu 26 peratus atau 2,453 orang dengan kanser payudara, 11 peratus dengan kanser mulut dan farinks (1,061 orang), 11 peratus dengan kanser serviks (1,009 orang), 10 peratus dengan kanser kolon dan rektum (908 orang) dan tujuh peratus dengan kanser trakea, bronkus dan paru-paru (622 orang).

Faktor yang dikaitkan dengan peluang tinggi pesakit kanser berdepan bencana kewangan atau kematian adalah usia apabila pesakit berumur lebih 65 tahun dikatakan lebih berisiko tinggi berbanding pesakit bawah umur 45 tahun. Pesakit berpendapatan rendah dan kurang pendidikan serta tiada insurans kesihatan juga berdepan risiko sama.

Profesor Woodward berkata, kajian mendedahkan daripada 9,513 pesakit berkenaan yang menyertai kaji selidik selama 12 bulan didapati kira-kira 48 peratus daripada mereka berdepan bencana kewangan, 29 peratus meninggal dunia, manakala 23 peratus lagi mampu melakukan rawatan tanpa masalah kewangan.

Bagaimanapun, pesakit yang berkemampuan itu didapati menggunakan sepenuhnya wang tabungan untuk simpanan masa depan bagi membiayai keseluruhan kos rawatan kanser.

“Berdasarkan data diperoleh, didapati kos berkaitan penyakit tidak berjangkit ini adalah faktor signifikan terhadap kemiskinan di Asia Tenggara. Oleh itu, dengan mewujudkan dan menambah baik jaringan keselamatan sosial, kerajaan boleh mengelakkan rakyat mereka daripada kancah kemiskinan dan masalah kewangan selepas didiagnosis dengan kanser.

“Jika kanser tidak dilihat sebagai isu nasional, di samping tidak menjadi keutamaan, ia tidak hanya menjejaskan isi rumah pesakit, malah masyarakat dan ekonomi. Di negara berpendapatan rendah dan sederhana, ada keperluan untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang menyokong golongan miskin terutama mereka yang didiagnosis pada peringkat awal.

“Data daripada kajian juga menunjukkan hampir 88 peratus pesakit kanser yang didiagnosis pada kali pertama berada di tahap dua hingga empat, manakala 12 peratus saja yang didiagnosis masih di tahap satu.

“Oleh itu, usaha meningkatkan pengesanan awal kanser turut mampu meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan mengurangkan tanggungan ekonomi disebabkan kanser.

“Ini boleh dicapai jika kerajaan melaksanakan program pemeriksaan berkualiti tinggi yang meliputi sejumlah besar penduduk. Bagi memerangi kanser dengan lebih berkesan, negara Asia Tenggara perlu melaksanakan program kawalan kanser kebangsaan dengan sistem kesihatan sedia ada di negara masing-masing,” katanya.

Katanya, pihaknya juga berharap melaui dapatan kajian ACTION, kerajaan setiap negara Asia Tenggara berupaya membentuk strategi untuk mengawal kanser dan mengekalkan produktiviti rakyat dan ekonominya.

Mengukuhkan jaringan keselamatan bukan saja menyokong pertumbuhan ekonomi tetapi lebih penting menawarkan harapan kepada pesakit dalam melawan penyakit dahsyat ini dan memberikan mereka akses kepada rawatan terbaik yang sedia ada.

Sementara itu, Profesor Dr Nirmala berkata, rata-rata kos rawatan untuk kanser payudara mampu mencecah AS$15,000 setahun (di Malaysia antara RM45,000 hingga RM60,000) dan pesakit dengan pendapatan AS$1,100 (antara RM3,300 hingga RM4,400) sebulan atau lebih rendah daripada itu akan mengalami kesukaran menampung pembiayaan rawatan penyakit mereka.

“Dengan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita pada 2014 untuk lapan negara iaitu AS$3,553.75 (RM14,993), kebanyakan pesakit kanser terpaksa menggunakan wang daripada tabungan mereka dan berdepan bencana kewangan dalam meneruskan kehidupan lebih berkualiti.

“Bencana kewangan ditafsirkan sebagai terpaksa membelanjakan lebih 30 peratus daripada pendapatan isi rumah untuk perbelanjaan di luar jangka bagai merawat kanser,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Malaysia dikatakan mencapai perlindungan kesihatan kebangsaan, kajian ini membuktikan kerajaan masih perlu meningkatkan perlindungan risiko kewangan untuk pesakit kanser.

“Ini termasuk bukan saja penambahbaikan dalam kualiti, akses dan penggunaan program pengesanan awal kanser serta perkhidmatan penjagaan kanser terutama di sektor kesihatan awam, malah membabitkan juga pemeriksaan ulangan sistem pembiayaan kesihatan negara bagi memastikan dana awam disalurkan kepada mereka yang sangat memerlukan,” katanya.

Katanya, beban kewangan disebabkan rawatan kanser kepada sistem kesihatan, individu dan isi rumah akan terus meningkat seiring dengan perkembangan teknologi dan rawatan dalam perubatan di Asia Tenggara. Bagaimanapun, peningkatan ini tidak seimbang di rantau ini menyebabkan doktor dan pesakit dibebankan dengan permintaan untuk rawatan kanser.

Profesor Dr Hasbullah pula berkata, selaras dengan pengesyoran dapatan daripada kajian ACTION, kerajaan Indonesia melaksanakan program pengesanan awal kanser di peringkat klinik tempatan dan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan asas.

“Tahun lalu, kerajaan Indonesia melancarkan program liputan penjagaan kesihatan awam dan ia membantu membuka akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada pesakit dan ini juga permulaan yang bagus dalam mengambil berat pesakit kanser.

“Kanser bukan ditakdirkan kerana ia boleh dielakkan, namun ramai tidak faham yang kanser ini disebabkan oleh sikap kita sendiri. Penyakit datang daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti pengambilan makanan yang tidak mengikut gizi seimbang dan kuat merokok. Malah, kanser juga bukan penyakit golongan kaya kerana mereka yang miskin juga boleh mendapat kanser.

“Namun, kebanyakan mereka menanggung masalah kewangan kerana kos rawatan kanser tinggi kecuali mereka yang mengambil insurans kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:01 AM