POPULAR melalui Tanah Kubur, Nasir anjur program Cintai Kubur.
Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Karakter Pak Adi dalam drama bersiri Tanah Kubur sering dijadikan bahan ajukan segelintir pelawak tempatan tetapi Nasir Bilal Khan, 54, akui watak komedi kurang sesuai dengannya.

Malah tanpa berselindung, Nasir pernah beberapa kali ditawarkan watak komedi, namun terpaksa menolaknya dengan baik. Alasannya, watak komedi tidak sesuai dengannya yang sinonim dengan watak serius sedari dulu.

Pun begitu untuk filem terbarunya, Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium arahan Mamat Khalid, pelakon mula dikenali melalui filem Perempuan, Isteri dan ... pada 1993 itu seolah-olah mengetepikan pendiriannya.

Kata Nasir, dia terima tawaran menjayakan filem Mamat kerana diyakinkan mengenai objektif filem ini iaitu sejarah tidak pernah mati dan ia disampaikan dengan cara berbeza.

“Kalau lihat watak saya dalam filem itu, saya tidak menjadi pelawak tapi lawak yang wujud melalui komedi situasi,” katanya.

Memegang watak Sultan Melaka, Nasir akui berlakon komedi dalam filem itu adalah cabaran buatnya selama bergelar pelakon.

Jauh di sudut hati, Nasir percaya filem itu mampu menarik perhatian golongan muda supaya lebih menghargai sejarah tokoh, bangsa dan negara.

Apatah lagi ia mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang turut menyediakan tempat serta tenaga pelajar dan pensyarah untuk menjayakan pengisian jalan cerita.

Nasir kini dalam proses menerbitkan program dokumentari khas mengangkat tokoh Islam Kedah. Katanya, Program itu sudah lama dirancang dan dilakukan dengan usahasama Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Pada peringkat ini, UUM masih menjalankan kaji selidik mengenai tokoh itu. Apabila siap, saya akan lihat sudut mana kita boleh angkat.

“Saya bukan setakat mengangkat tokoh itu saja tapi mahu mengangkat ilmu dalam Islam yang dibawa tokoh itu. Saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai insan, itu saja,” katanya.

Kata Nasir, apabila siap kelak dokumentari itu akan dimuat naik ke YouTube dan boleh ditonton secara meluas. Nasir juga ada sebab sendiri mengapa memilih medium itu berbanding televisyen atau filem.

Katanya, dia mahu berkongsi dokumentari itu di laman YouTube kerana mahu berkongsi di seluruh dunia, apatah lagi Islam adalah satu dunia, bukan setakat di Malaysia.

“Jika ditayangkan di TV, hanya orang Malaysia yang tahu. Saya mahu satu dunia tahu mengenai tokoh dan ilmu ini.

“Saya pilih dokumentari sebab ia mudah dikupas dengan lebih terperinci. Kalau drama atau filem ia berkisah mengenai satu perkara saja.

“Kita tidak boleh pandang Barat sebagai rujukan kemajuan sebab satu ketika dulu, Islam mempunyai tamadun yang dahsyat,” katanya bersemangat.

Nasir memilih tokoh dari Kedah kerana dia kini menetap di negeri itu. Malah berdasarkan pembacaan dan perkongsian sejarah bersama beberapa tokoh dan ilmuan sejarah tempatan, Islam di Kedah wujud sejak 1135 lagi.

Projek sulung terbitannya ini akan memilih 13 tokoh termasuk seorang sultan, Sultan Abdul Hamid yang turut memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu Islam di negeri itu.

Dia gembira kerana setakat ini, projek itu mendapat sokongan baik dari Menteri Besar dan Exco Agama Kedah.

“Setakat ini, saya masih mencari dana untuk menjayakan projek ini. Kos mungkin mencecah RM1.5 juta dan ia akan dijadikan dokumentari peringkat antarabangsa melalui tiga bahasa, bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

“Ini adalah projek pertama saya. Sebelum ini tidak ada apa yang boleh bangkitkan semangat saya untuk menerbitkan sesuatu, kini saya sudah jumpa.

“Jujurnya, saya tak fikir pulangan dari sudut duit tapi saya mahukan pulangan dari sudut Islam,” katanya.

Pun begitu, dek dokumentari itu bakal dihasilkan dalam tiga bahasa, Nasir melihat ia peluang cerah untuk projek itu diterima di negara Islam lain terutama di Asia Barat.

Katanya, selepas berjaya menyiapkan dokumentari itu, dia akan menganjurkan pameran tamadun Islam pula.

Selain projek penerbitan dokumentari, Nasir juga sibuk menganjurkan aktiviti Cintai Kubur, program ilmu yang mengajak golongan muda untuk mengenali dan menguasai ilmu berkaitan kematian.

“Program Cintai Kubur akan dibuka dan diadakan dari negeri ke negeri bermula di Kedah. Kita mahu mengumpulkan anak muda bermasalah dan juga yang berminat untuk mempelajari pengurusan kematian dari awal sampailah mampu memimpin talkin serta kenduri arwah.

“Pada masa ini, kami bekerjasama dengan jawatankuasa kariah dan pemimpin setempat. Syukur sudah ada yang berminat, malah ada pihak dari Kelantan beli van jenazah semata-mata menantikan kehadiran kami ke sana,” katanya ketawa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:02 AM