MCLAREN ketinggalan di tempat kesembilan.
MCLAREN ketinggalan di tempat kesembilan.
Reuters

Monza: Juara Formula Satu Lewis Hamilton yang memenangi takhta pertamanya ketika bersama McLaren pada 2008, terkejut dengan pencapaian merudum pasukan kedua paling berjaya dalam sukan itu sejak dia meninggalkan pasukan berkenaan.

McLaren yang berpangkalan di Woking tidak memenangi sebarang perlumbaan sejak 2012 dengan takhta dimenangi Hamilton, menjadikannya juara termuda dalam sukan itu ketika itu, kekal pencapaian terbaik mereka.

“Pasukan sekarang tidak kelihatan seperti McLaren,” kata Hamilton di Grand Prix Itali semalam.

“Agak pelik apabila pasukan yang penuh bersejarah ini bersaing dengan Marussia. Dan Marussia pula hanya mempunyai satu pertiga saja bajet McLaren.

“Saya masih tidak percaya pasukan ini berdepan dengan keadaan sebegitu,” katanya kepada wartawan British.

McLaren memulakan kerjasama baru dengan Honda musim ini tetapi kuasa hibrid turbo V6 Jepun itu mengalami masalah dalam penampilan pertamanya.

McLaren kini berada di kedudukan kesembilan daripada 10 pasukan dan hanya meraih 17 mata setakat ini.

Hamilton, juara enam grand prix tahun ini dan berada di kedudukan utama 10 kali daripada 11 pusingan, meraih lebih banyak mata dalam perlawanan pertama saja berbanding apa yang diraih McLaren sepanjang tahun ini.

Kedudukan semasanya dalam saingan musim 2015 ini dengan 227 mata keseluruhan lebih banyak berbanding apa yang dikumpul dua pemandu McLaren pada 2014.

Hamilton yang kerjaya awalnya disokong McLaren dan rakan ketika itu, Mercedes, berkata secara positifnya, mereka mungkin menjadi lebih baik.

“Hanya ada satu cara mengatasi kemelut ini - dengan menjadi lebih baik dan saya yakin McLaren akan bekerja keras untuk mencapainya,” katanya.

Hamilton tiba di Monza dengan penampilan baru - rambut diwarnakan perang - hampir sama warna asli yang dimiliki rakan sepasukan Nico Rosberg.

Perubahan radikal itu mungkin sesuatu yang tidak terfikir ketika dia bersama McLaren.

“Saya melakukannya kerana saya boleh. Saya sedang mengalami fasa eksperimen dalam hidup, mencuba banyak perkara.

“Tapi warna rambut ini hanya sementara. Kali pertama saya melihatnya, saya sendiri takut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:04 AM