Beijing: Seorang pakar bedah China merancang bergabung dengan pakar Itali untuk melakukan pembedahan pemindahan kepala pertama di dunia dalam masa dua tahun.

Pakar bedah neuro Itali Dr Sergio Canavero mengumumkan rancangannya mencari doktor yang sanggup membantunya melakukan pembedahan itu ketika berucap di Amerika Syarikat awal tahun ini.

Dia akhirnya menemui Ren Xiaoping, pakar bedah di Universiti Perubatan Harbin.

“Kejayaan melakukan pemindahan kepala akan mengubah sejarah perubatan manusia. Ren Xiaoping adalah satu-satunya orang yang dapat mengetuai projek ini,” kata Canavero pada satu persidangan akademik di wilayah Heilongjiang.

Ren sebelum ini dilapor melakukan pembedahan pemindahan kepala ribuan tikus.

Bagaimanapun, paling lama seekor tikus hidup selepas menjalani pembedahan itu ialah sehari.

Canavero dan Ren bercadang mewujudkan satu pasukan perubatan antarabangsa dan setakat ini sudah mengenal pasti saintis komputer Russia berusia 30 tahun yang menghadapi masalah distrofi otot sebagai pesakit pertama mereka.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku akan menghadapi banyak kerumitan teknikal berhubung dengan sistem saraf, saluran darah dan saraf tunjang yang akan menghalang tubuh menerima kepala lain.

“Jika semua berjalan lancar, projek itu dapat dilaksanakan dalam masa dua tahun,” kata Canavero. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:04 AM