AMIR Abdissalam Khairul Anuar, 10, menunjukkan rakaman gambar beruk jantan terbabit. FOTO Bernama

Jitra: Orang ramai gempar selepas beruk jantan masuk ke dalam surau ketika kelas agama sedang berlangsung di pondok pengajian di Kampung Bukit Teriak, di sini.

Kejadian yang menjadi menjadi viral di laman sosial itu berlaku, kira-kira 9 pagi semalam.

Ketika itu, kira-kira 390 orang sedang mengikuti kelas pengajian agama mingguan di Mahad Dar Muhajirin di Kampung Bukit Teriak.

Tenaga pengajar pondok itu, Ummi Kalsom Ismail, 31, berkata beruk jantan itu datang dari arah hutan di belakang pondok itu dan berlegar-legar di sekitar pondok tanpa mengganggu atau mencederakan orang ramai yang mengikuti kelas pengajian.

Beliau berkata, haiwan itu juga memerhati setiap daripada mereka yang berada di luar surau dan tidak mengambil makanan yang diberikan kepadanya.

“Selepas berlegar di luar, haiwan itu masuk ke dalam surau dan apa yang peliknya haiwan itu hanya melihat orang yang sedang membaca kitab agama dan hanya duduk melihat kelas pengajian yang berlangsung.

“Kemudian haiwan itu memanjat badan guru agama yang sedang mengajar.

“Ustaz itu hanya membiarkan beruk itu berada di atasnya beberapa minit sebelum haiwan itu turun sendiri,” katanya ketika ditemui di pondok itu, hari ini.

Ummi Kalsom berkata, ia adalah kejadian pertama sejak pondok itu sejak dibuka pada 2001 dan ia pengalaman tidak dapat dilupakan kerana haiwan sebesar kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak bertindak agresif seperti kebiasaan beruk lain.

Beliau berkata, orang ramai kemudiannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap haiwan itu, kira-kira 10.30 pagi, kerana bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Kami lihat beruk itu masuk ke dalam sangkar tanpa bertindak agresif,” katanya.

Sementara itu, beruk jantan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 10:06 PM