Jasin: Usia bukan penghalang ahli Kelab Longga Lutuit (KLL) dari Port Dickson, Negeri Sembilan mengibarkan cabaran pada Kejohanan Harian Metro Grand Prix Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan, Melaka.

Kelab yang dianggotai pelumba berusia awal 40-an hingga 50-an menyenaraikan 12 ahlinya dengan misi menamatkan perlumbaan.

Ketua kelab Longga Lutuit Mohd Arif Hashim berkata, pasukannya tidak meletakkan sasaran mencatat keputusan terbaik.

Apa yang penting setiap pelumba KLL tiba di garisan penamat dengan selamat sekalipun di tempat tercorot.

“Tujuan kami bukan untuk merangkul kejuaraan tapi semangat setiap pelumba yang berkobar-kobar untuk menyertai kejohanan berprestij ini.

“Kami mahu menjadi sebahagian daripada peserta sirkit empat kerana kejohanan anjuran Harian Metro cukup popular di kalangan penggemar basikal bukit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:04 AM