Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Anthony Kevin Morais yang hilang sejak Jumaat lalu tidak terbabit dalam siasatan berkait kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikendalikan di bawah portfolio beliau sekarang ini adalah kes yang dibawa bersama bagi tujuan kesinambungan pendakwaan.

"Saya ingin menjelaskan Morais dipindah kembali ke Jabatan Peguam Negara daripada SPRM berkuatkuasa 15 Julai 2014 dan memegang jawatan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara.

"Memandangkan pihak polis sedang melakukan siasatan berhubung kehilangan Morais, kami menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai punca kehilangan beliau,"katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamed Apandi berkata, Jabatan Peguam Negara akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung siasatan yang dilakukan.

Morais dilaporkan hilang Jumaat lalu, dan semalam pihak polis menemui kereta dipercayai milik beliau di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 1:18 PM