Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Ipoh : Seorang Asisten Superintendan dan seorang anggota polis masing-masing dijatuhi hukuman lapan tahun penjara dan denda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh di sini atas dua kesalahan meminta dan menerima rasuah sejumlah RM30,000 rasuah empat tahun lalu.

Hukuman diputuskan oleh Hakim Madihah Harullah terhadap Asisten Superintendan Ng Swie Chait, 36, dan Lans Koperal Mohd Syafiq Omar, 31, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Madihah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mereka yang kini digantung tugas dituduh dengan niat bersama meminta RM15,000 daripada Kong Wan Heng dan isterinya, Leong Suet Lai bagi membebaskan Wan Heng, yang ditahan berkaitan kes jenayah dan memulangkan sebahagian barang kemas yang dirampas daripada siasatan kes.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menerima wang RM15,000 daripada Suet Lai untuk tujuan sama di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK di Lebuh Cecil Rae, Sungai Senam, di sini, antara 10 malam hingga 11 malam, 30 Mac 2011.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 1:49 PM