ZAINAL kini boleh menarik nafas lega apabila projek ternakan lembu secara fidlot yang baru bermula Ogos lalu mula mendapat sambutan.
Teks dan gambar Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
am@hmetro.com.my


Daripada seorang jurutera profesional kini menjadi usahawan berjaya. Begitulah senario dilalui seorang pengusaha lembu baka sehingga tertubuhnya sebuah syarikat miliknya sendiri.

Selepas berkecimpung dalam bidang itu sejak 10 tahun lalu, akhirnya Zainal Ariffin Osman, 53, mewujudkan Zasyaz Farm Sdn Bhd.

Pemegang iajzah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Malaya ini mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang industri binaan dan pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar Darulaman Realty Sdn Bhd sebelum mengambil keputusan berhenti selepas tamat kontrak pada Jun 2006.

Sebelum itu, beliau sudah berjinak-jinak memulakan perniagaan dengan menubuhkan syarikat Zasyaz Corporation Sdn Bhd pada tahun 2004 yang beroperasi dari pejabat kecil di rumah sebelum mempunyai bangunan sendiri di Sri Petaling, Sela­ngor pada 2006.

Syarikat berkenaan pada awalnya memberi tumpuan terhadap perniagaan hartanah sebelum mengembangkan lagi sayap perniagaan dengan terbabit dalam pengurusan projek, perunding kejuruteraan dan produksi.

Menurut Zainal, secara peribadi dia tidak pernah terfikir akan membabitkan diri dalam dunia penternakan lembu.

“Namun minat mula datang apabila rakannya yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Veterinar Putrajaya Datuk Dr Quarza Nazimuddin memberi pandangan supaya syarikatnya menceburi bidang penternakan lembu.

“Ketika itu iaitu pada 2006 saya belum mempunyai keyakinan terbabit dalam bidang ini. Bagaimanapun, saya mengambil pandangan itu dari sudut positif dan mula membaca, mengkaji dan meneliti prospek perniagaan ini,” katanya ketika ditemui di Projek Ternakan Lembu Fidlot Zasyaz Farm Sdn Bhd di Kampung Kundur Tengah, Rembau, Negeri Sembilan.

Katanya, selepas beberapa tahun dan mempunyai modal mencukupi dengan pelaburan RM1.05 juta, beliau nekad membabitkan diri dalam bidang penternakan lembu secara fidlot penghujung tahun 2014.

“Kos infrastruktur kompleks kandang dan ladang rumput napier berjumlah RM450,000 dan pembelian lembu setakat ini sudah mencecah RM500,000 termasuk kos operasi RM100,000 sejak Mei hingga kini,” katanya.

Menurutnya, menerusi kerjasama dan persetujuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) Kampung Kundur Tengah dan beberapa pemilik tanah, Kumpulan Zasyaz membangunkan 3.8 hektar tanah terbiar dengan 0.7 hektar digunakan untuk kompleks ternakan lembu secara komersial manakala bakinya penanaman rumput napier untuk makanan ternakan.

“Fasa pertama kompleks ternakan lembu Zasyaz Farm dibuka pada awal bulan lalu merangkumi pembinaan kandang bagi memuatkan kira-kira 200 ekor lembu dalam satu-satu masa di samping kemudahan pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, stor berpusat, pusat memproses tinja, kolam perangkap tangki kotoran dan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Menurutnya, bagi fasa seterusnya ialah mewujudkan pusat penyembelihan, pembiakan, penjualan daging yang dibangunkan secara francais sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Saya menyasarkan syarikat kami dapat melaksanakan perkara ini dalam tempoh dua tahun akan datang. Fasa ini penting bagi memastikan kesinambungan perniagaan berjalan sepanjang tahun dan tidak terhad pada musim perayaan.

“Walaupun syarikat kami masih hijau dalam perniagaan ini, tempahan diterima agak memuaskan apabila berjaya menarik beberapa pembeli membeli secara pukal dari masjid dan surau sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

“Ini memberi petanda positif kepada kami untuk terus bergerak maju pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, buat masa ini semua gred lembu satu hingga empat diasingkan mengikut kandang bagi memudahkan pemilihan oleh bakal pembeli.

“Lembu di sini juga ditandakan supaya pembeli tidak rasa tertipu ketika bekalan dihantar ke destinasi kelak.

“Untuk makluman, kami mempunyai 120 ekor lembu jenis Brahman (Australia), Brahman, KK Cross dan Kedah Kelantan (KK) yang dibahagikan mengikut saiz.

“Harga ditawarkan juga amat berpatutan. Bagi Gred 4, harga seekor lembu adalah RM3,600, Gred 3 (RM4,050). Gred 2 (RM4,500) dan akhir sekali untuk Gred 1 (RM4,950),” katanya.

Menurutnya, kelebihan lembu Zasyaz Farm berbanding pembekal lain adalah semua ternakan disahkan bebas penyakit, cukup umur, kesihatan baik, pemakanan 90 peratus rumpur napier dan sumber makanan halal di samping amalan kebersihan kandang tinggi

“Pembeli tidak perlu bimbang kerana pemantauan dan pemeriksaan lembu dijalankan sendiri pihak Jabatan Veterinar Rembau.

“Kami juga mengenal pasti 60 hingga 80 ekor jenis KK Cross dan KK untuk dibawa ke kandang sebelum Aidiladha bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang berminat untuk mendapatkan lembu korban boleh datang ke Zasyaz Farm di Kampung Kundur Tengah atau berhubung terus dengan pengurus Nasaruddin Ahmad di talian 019-6046949 atau pejabat 03-90570566.

“Kami menawarkan diskaun 10 peratus untuk tempahan lembu bagi tujuan korban sempena pembukaan ladang ternakan ini.

“Justeru, sebarang tempahan boleh dilakukan segera bersempena promosi diskaun pembelian lembu dan memilih lebih awal gred lembu yang mahu dibeli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 5:00 AM