Shah Alam: Kulit lembu memerlukan prosedur tertentu untuk memastikan ia selamat dan halal digunakan terutama bagi masyarakat Islam di negara ini.

Pengarah Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Hakimah Mohd Yusoff berkata, secara umumnya, setiap kulit lembu dihasilkan dari rumah sembelih yang halal adalah halal dimakan dan suci digunakan sebagai barangan kegunaan harian.

“Justeru, dalam memastikan setiap bahagian anggota haiwan berkenaan termasuk kulit halal digunakan atau dimakan ia perlu melalui prosedur ditetapkan syarak.

“Rumah sembelih yang beroperasi di negara ini perlu berdaftar dan dikawal selia Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) seperti mana yang terkandung di dalam Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993.

“Aspek halal menjadi keutamaan dalam operasi di kebanyakan rumah sembelih berkenaan. Hal ini termasuk daripada aspek keperluan terhadap penyembelih bertauliah dari Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan prosedur Pensijilan Halal Malaysia, setiap rumah sembelih yang memohon pensijilan halal perlu mematuhi prosedur dan keperluan ditetapkan.

“Antara keperluan utama ditetapkan adalah mewujudkan Sistem Halal Dalaman dengan melantik eksekutif halal atau penyelia halal Muslim serta melantik penyembelih dan pemeriksa halal Muslim yang mempunyai tauliah penyembelih dari Jabatan Agama Islam Negeri.

“Setiap rumah sembelih juga mestilah bebas dari unsur yang boleh menjejaskan integriti halal pada produk dihasilkan seperti bebas daripada anasir anjing dan babi,” katanya.

Hakimah berkata, hukum syarak berkaitan memakan kulit lembu adalah halal jika lembu disembelih mengikut hukum syarak.

“Jika lembu itu mati bukan disebabkan sembelihan mengikut syarak, ia haram untuk dimakan, namun kulitnya boleh dimanfaatkan untuk digunakan contohnya sebagai barangan kulit selepas proses samak dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 5:05 AM