LOW Kit Su.
LOW Kit Su.
Oleh Zuliaty Zulkifli


Kuala Nerang: Mayat Low Kit Su, 72, yang terperangkap dalam kebakaran membabitkan lapan deret rumah kedai di pekan Kuala Nerang, di sini ditemui awal pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui 2.25 pagi selepas usaha mencarinya dilakukan hampir 21 jam oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Pencarian mangsa turut dibantu dua anjing pengesan dari Unit K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur di tingkat bawah bangunan kedai itu.

Komander Operasi JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Nazri Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui di bahagian belakang premis itu berhampiran kaunter bayaran pasar raya terbabit.

Beliau berkata, kesukaran pihaknya mencari mayat mangsa adalah disebabkan ia berada di bawah timbunan konkrit, kayu dan besi yang menyebabkan pihaknya terpaksa menggunakan khidmat jengkaut dan forklif.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan operasi mencari mangsa dilakukan bermula sejak jam 6 pagi semalam sehingga ditemui pagi ini.

"Ketika operasi mencari mangsa sedang dilakukan, sebuah daripada premis terbabit terbakar semula menyebabkan anggota kami terpaksa memadam semula api dari merebak ke bangunan berhampiran.

"Ini berikutan tahap kepanasan pada bahagian dinding bangunan itu menyebabkan ia terbakar semula tetapi api berjaya dikawal sekitar 10 minit kemudian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian awal pagi tadi.

Nazri berkata, operasi membabitkan 60 anggotanya dari tiga balai iaitu Alor Setar, Jitra dan Kuala Nerang termasuk anggota sukarela.

Beliau berkata, operasi tamat pada 3.35 pagi tadi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 9:40 AM