Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Tiga lokasi di Melaka dan Negeri Sembilan masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat akibat jerebu.

Menurut laman Web Jabatan Alam Sekitar sehingga 9 pagi ini, bacaan IPU di bandar raya Melaka dicatat pada 112, Bukit Rambai (107) dan Nilai (103).

Di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya pula, bacaan IPU di kebanyakan kawasan masih di paras sederhana.

Manakala 13 kawasan lain iaitu Kuala Terengganu, Limbang (Sarawak), Kota Kinabalu, Sandakan (Sabah), Universiti Sains Malaysia, Perai, Seberang Jaya (Pulau Pinang), Kangar (Perlis), Langkawi, Alor Setar (Kedah), Tanah Merah (Kelantan) dan Seri Manjung serta Tanjung Malim (Perak) mencatat bacaan IPU baik.

IPU sifar hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 10:11 AM