Rambut memainkan peranan penting dalam menonjolkan penampilan menarik dan menawan. Manusia dianugerahkan kira-kira 100,000 helai rambut pada kulit kepala.

Setiap hari, kira-kira 100 helai rambut akan gugur dan diganti dengan pertumbuhan rambut yang baru. Rambut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu folikel (dalam kulit kepala) dan batang rambut (luar kulit kepala).

Jumlah folikel dalam kulit kepala akan berkurangan mengikut usia. Setiap helai rambut terdiri daripada tiga lapisan keratin. Lapisan luar rambut (kutikel) berfungsi untuk melindungi dua lapisan di bahagian dalam rambut.

Rambut yang sihat akan kelihatan bersinar kerana lapisan kutikel berada dalam keadaan mendatar yang membolehkan imbasan cahaya berlaku, selain memudahkan sebum mengalir untuk melembapkan rambut.

Penjagaan rambut berbeza mengikut jenis, gaya dan aktiviti yang dilakukan. Jenis syampu yang digunakan dan kekerapan membasuh rambut juga perlu mengikut kelembapan rambut serta masalah dialami.

1. Syampu untuk rambut jenis kering dan rosak diperlukan dalam keadaan rambut yang sering diubah sama ada kerinting, lurus atau ikal menggunakan bahan kimia.

Selain itu, syampu jenis ini sesuai untuk rambut yang selalu menggunakan pengering elektrik terutama ketika masih basah atau sering terdedah kepada air laut dan berklorin.

2. Syampu untuk rambut berminyak pula perlu digunakan bagi mereka yang mempunyai tekstur rambut berminyak. Sesetengah remaja mengalami masalah rambut yang terlalu berminyak kerana pada usia ini, kelenjar sebum menjadi lebih aktif dan mengeluarkan minyak melebihi daripada keperluan.

3. Syampu bayi yang lembut pula disarankan bagi mereka yang aktif dalam sukan dan perlu kerap membersihkan rambut setiap hari.

Masalah rambut yang sering dialami kebanyakan individu ialah kelemumur, gugur, rapuh atau pecah.

Kelemumur

Penyebab kelemumur berlaku masih tidak diketahui. Namun, ia sering dikait­kan dengan kehadiran sejenis kulat (fungus) pada kulit kepala.

Kelemumur boleh dirawat menggunakan syampu yang mengandungi asid salisilik, zink, tar atau selenium sulfate. Jika rawatan ini tidak berkesan, berjumpalah doktor untuk rawatan lanjut.

Rambut rapuh, pecah atau bercabang

Rambut boleh pecah di bahagian yang lemah sama ada di pangkal, tengah mahupun di bahagian hujung rambut.

Penyebab rambut pecah

- Terdedah kepada bahan kimia yang digunakan untuk meluruskan, mengerintingkan atau mewarnakan rambut.

- Kerap menyisir rambut terutama apabila menggunakan sikat yang tidak bersesuaian dengan ketebalan rambut atau dalam keadaan basah.

- Kerap mengikat ‘tocang’ dengan ketat.

- Mengalami masalah perubatan seperti hypothyroidism (hormon tiroid rendah) dan anoreksia nervosa.

Rambut gugur adalah perkara yang biasa berlaku pada setiap orang. Setiap hari kira-kira 100 helai rambut akan gugur dan diganti dengan rambut baru.

Masalah akan timbul apabila rambut yang gugur tidak diganti dan ini boleh menyebabkan seseorang itu menjadi botak. Botak boleh berlaku sementara atau kekal.

Antara penyebab rambut gugur adalah penggunaan bahan kimia dan suhu ting­gi untuk dandanan rambut serta masalah perubatan.

Sekiranya rambut gugur berterusan selepas menjalani rawatan di salun atau mengalami botak kekal, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 5:06 AM
Digital NSTP Subscribe