Faizal menunjukkan produk keluaran Xgene Marketing.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Xgene Marketing (Xgene) syarikat pengeluar produk penjagaan kesihatan khusus untuk lelaki, Xgene menyasarkan perolehan sebanyak RM17 juta menjelang akhir tahun ini berbanding RM7 juta yang dicatatkan pada tahun lalu bersandarkan kepada penerokaan pasaran asing dan permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Xgene ialah krim penjagaan alat sulit lelaki yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi status halal dan diuji secara klinikal menerusi hasil kajian oleh pakar sakit tuan, Dr Ismail Mohd Tambi.

Kordinator Pembangunan Perniagaan Xgene, Faizal Zainon berkata, produk itu menggunakan ekstrak herba terutama tongkat ali yang dikilangkan di Alor Setar, Kedah turut menembusi pasaran asing seperti Singapura dan Brunei.

Beliau berkata, pihaknya dalam perbincangan dengan rakan niaga dari Kazakhstan dan Eropah untuk meluaskan penjualan Xgene kerana produk berkenaan diperakui secara klinikal.

“Krim formulasi ini bukan ubat tenaga batin yang biasanya diuar-uarkan mampu membesarkan dan sebagainya, tetapi kita menawarkan produk yang mampu melindungi alat sulit seperti pengguna menjaga muka dengan mencuci muka setiap hari kerana Xgene hanya perlu disapu selepas mandi dua kali sehari.

“Kami menyasarkan pengguna dalam kalangan mereka yang berusia 20 tahun ke atas terutama bagi golongan lelaki muda yang bakal berkahwin. Kami banyak menerima maklum balas daripada pengguna yang mempunyai latar belakang pekerjaan profesional kerana mereka lebih mempercayai produk yang diperakui secara klinikal,” katanya kepada Bisnes Metro.

Xgene boleh didapati di 30 farmasi di Malaysia dan turut dijual menerusi 600 ejen serta stokis yang berdaftar di bawah syarikat berkenaan. Malah, orang ramai juga boleh menjadi ejen dengan tawaran margin keuntungan antara 40 hingga 70 peratus. Krim Xgene dijual pada harga RM85 di Semenanjung Malaysia manakala RM90 di Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 7:33 AM