SEKUMPULAN pelancong bergambar dengan latar belakang resort Marina Bay Sands, Singapura yang dilitupi jerebu, semalam.
AP

Singapura: Pencemaran udara di Singapura mencecah tahap terburuk tahun ini semalam apabila negara itu terus diselubungi jerebu yang berpunca daripada pembakaran hutan di Indonesia.

Jerebu tebal menyebabkan pemandangan menjadi terhalang sekali gus menghampakan pelancong asing, sehari sebelum pilihan raya umum di negara itu.

Agensi Alam Sekitar Kebangsaan berkata, Indeks Standard Pencemaran mencecah 160 pada tengah hari semalam melebihi tahap tidak sihat iaitu 100.

Indeks 200 ke atas adalah sangat tidak sihat dan sangat berbahaya kepada kanak-kanak, warga tua dan mereka yang menghidap penyakit jantung dan paru-paru.

Pada 2013, indeks itu mencecah 401, yang tertinggi dalam sejarah, melebihi angka 300 yang dianggap berbahaya.

“Kami sangat kecewa dan tidak menjangka keadaan seperti ini berlaku,” kata pelancong dari Australia Ken Ridden yang melawat Singapura bersama isteri dan dua anaknya.

“Dalam risalah anda lihat pemandangan yang menarik, tetapi kami tidak melihat apa-apa kerana jerebu terlalu tebal,” katanya.

Keadaan jerebu semakin buruk sejak seminggu lalu menjejaskan kempen pilihan raya dan memberi kesan proses pengundian hari ini.

Walaupun keadaan jerebu teruk, pengundi di negara itu tiada pilihan selain turun mengundi.

Setiap warga Singapura yang berusia 21 tahun ke atas wajib mengundi.

“Mereka membakar hutan (di Indonesia) dan angin membawa asap ke sini.

“Apa yang kita mampu lakukan,” kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam satu kempennya, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 6:33 AM